190126RPTMBannerv2.png

Kesimpulan


RPTM 2026–2035 menggariskan lonjakan transformasi dalam sistem pendidikan tinggi Malaysia bagi memenuhi tuntutan dunia yang semakin dinamik. Berteraskan keterangkuman dan kemampanan, rancangan ini memberi tumpuan kepada memperkasa pembelajar, meningkatkan kecemerlangan institusi serta memupuk inovasi dalam institusi pendidikan tinggi awam dan swasta. Keutamaan diberikan kepada akses yang saksama terhadap pendidikan berkualiti yang sejajar dengan piawaian antarabangsa, sambil mengintegrasikan pembelajaran sepanjang hayat dan laluan pembelajaran kendiri bagi memenuhi keperluan pelajar yang pelbagai.

Sebagai dokumen yang dinamik (living document), rancangan ini sentiasa berkembang mengikut trend dan cabaran memuncul bagi memastikan ia kekal relevan dan berkesan. Penekanan diberikan kepada perkongsian erat dengan industri dan komuniti, memanfaatkan sinergi antara sektor bagi memastikan sistem pendidikan tinggi kekal relevan dan berdaya saing di peringkat global. Ia bertujuan untuk memperkasa pembelajar, meningkatkan kecemerlangan institusi, menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat dan merentas kehidupan, membangunkan bakat berprestasi tinggi yang dipacu matlamat, memacu penyelidikan
berasaskan misi dan berimpak tinggi serta memastikan akses saksama kepada pendidikan berkualiti. Pendekatan holistik ini akan meletakkan sistem pendidikan tinggi Malaysia sebagai pemacu utama kemajuan negara serta daya saing global.

Strategi utama yang digariskan termasuk mempercepat penggunaan teknologi baharu, menerapkan prinsip kemampanan dan kesihatan bumi dalam kurikulum serta melahirkan bakat yang berteraskan nilai serta siap siaga masa hadapan. Secara keseluruhan, pendidikan tinggi Malaysia sedang bergerak ke arah membangunkan IPT yang melangkaui peranan tradisional dalam pengajaran, penyelidikan dan penyebaran ilmu, ke arah keterlibatan lebih aktif dalam transformasi masyarakat dan inovasi merentas disiplin.

IPT akan berperanan dalam menangani cabaran global dan tempatan, memacu inovasi dan keusahawanan berasaskan misi, menyokong penubuhan syarikat pemula (start-up) serta mencipta impak sosial, ekonomi dan alam sekitar yang lebih luas. Dengan komitmen bersama dan pendekatan seluruh negara atau a wholeof-nation approach daripada semua pihak berkepentingan, RPTM 2026–2035 berhasrat untuk mentransformasikan ekosistem pendidikan tinggi Malaysia menjadi hab kecemerlangan yang diiktiraf di peringkat global.

Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Khamis 22 Januari 2026, 10:10:50.

logo-sirim