190126RPTMBannerv2.png

Impak Transformasi


Pembelajar akan...

  • mendapat manfaat daripada pendidikan terbuka dan laluan pembelajaran fleksibel, membolehkan mereka menyesuaikan pengalaman pembelajaran mengikut keperluan individu dan aspirasi kerjaya sambil mengakses kelayakan yang pelbagai daripada institusi atau penyedia yang berbeza.
  • berpaksikan kemanusiaan, berorientasikan impak serta bersedia untuk berinovasi dan menyumbang kepada masyarakat.
  • menerima pendidikan berkualiti tinggi yang saksama dengan pendedahan global.
  • seimbang serta memiliki kemahiran siap siaga masa hadapan dan semasa termasuk kecerdasan buatan atau artificial intelligence (AI), gabungan kemahiran teknikal dan analitik (sharp) serta sosial dan kemanusiaan (smart) yang relevan.
  • menguasai kemahiran keusahawanan dan inovasi serta memperoleh peluang unipreneurship melalui pembelajaran berasaskan Penyelidikan, Pembangunan, Inovasi, Pengkomersialan dan Ekonomi (RDICE) bagi melonjak dalam ekonomi global.
  • memperoleh pengetahuan, kemahiran dan nilai yang selari dengan kemampanan serta amalan mesra bumi, membolehkan penggunaan sumber negara secara bertanggungjawab untuk pembangunan mampan.

Justeru, pembelajar perlu terlibat secara aktif dalam pendidikan mereka, menjunjung integriti, serta menyumbang kepada persekitaran yang bersifat keterangkuman. Mereka perlu bersifat tangkas, adaptif dan berdaya tahan, membangunkan pemikiran dipacu impak serta menyelaraskan perkembangan peribadi dengan keperluan masyarakat dan global.

Staf akademik dan pentadbiran akan...

  • berkembang dalam persekitaran yang pelbagai, saksama dan bersifat keterangkuman yang menggalakkan semangat intrapreneurial berteraskan matlamat dengan pemikiran sistem.
  • mendapat manfaat daripada peningkatan peluang pertumbuhan profesional melalui Laluan Kerjaya Berbeza dan penunjuk prestasi bakat holistik yang menyokong pencarian makna kerja, kepuasan profesional serta kesejahteraan fizikal dan mental.
  • bergerak seiring dengan misi kolektif ekosistem pendidikan tinggi nasional sambil mengekalkan kebebasan akademik.
  • melaksanakan pengajaran inovatif, penyelidikan berimpak serta membina kerjasama dengan kelompok quintuple helix bagi menangani cabaran masyarakat dengan sokongan Dana Penyelidikan Akademia (AReF).
  • meraih pengiktirafan dan kedudukan antarabangsa atas kecemerlangan dalam pengajaran dan inovasi penyelidikan.
  • memiliki kecekapan siap siaga masa hadapan dan semasa, termasuk AI, gabungan kemahiran teknikal dan analitik (sharp) serta sosial dan kemanusiaan (smart) yang relevan.
  • berada pada kedudukan utama untuk memanfaatkan perkongsian industri serta peluang unipreneurship dalam rangka kerja RDICE.
  • menjadi rujukan utama dalam pendidikan, penyelidikan, jangkauan dan dasar berkaitan kemampanan dan kesihatan bumi.

Justeru, sebagai pemacu IPT, staf akademik dan pentadbiran perlu melengkapkan diri dengan kecekapan yang diperlukan untuk melaksanakan pengajaran dan perkhidmatan inovatif, penyelidikan berimpak serta penyelesaian dan perkhidmatan kolaboratif bagi memperkukuh peranan kelompok quintuple helix
dalam ekosistem pendidikan tinggi.

Pemimpin IPT akan...

  • menikmati autonomi yang lebih besar dalam melaksanakan strategi bagi memperkukuh kecemerlangan institusi dan kemampanan.
  • mengintegrasikan pendekatan intrapreneurial dan pemikiran sistem untuk memacu transformasi.
  • mendapat sokongan dalam kemampanan kewangan melalui penubuhan Pengurusan Aset Universiti Berhad serta padanan dana endowmen.
  • menikmati tadbir urus yang telus dan penjajaran yang lebih baik dengan keutamaan nasional melalui pelantikan Lembaga Pengarah yang berkeupayaan serta pelaksanaan Penilaian Keberkesanan Lembaga.
  • mendapat manfaat daripada pengukuhan rangka kerja perundangan dan tadbir urus melalui penubuhan Ombudsman, Akta Satu Pendidikan Tinggi, Akta TVET dan Majlis Pendidikan Negara (MPN) bagi memastikan kesinambungan dan kesepaduan antara sektor Pendidikan dan Pendidikan Tinggi.
  • beroperasi dalam struktur tadbir urus yang bersifat keterangkuman, fleksibel dan tangkas dengan penglibatan kementerian berkaitan, pemimpin industri dan masyarakat.
  • memperoleh autonomi yang lebih luas serta pembiayaan RDICE yang fleksibel, selain meraih pengiktirafan atas kepimpinan dalam usaha kesihatan bumi serta dalam membimbing pemegang taruh mengamalkan amalan terbaik global.

Justeru, pemimpin IPT perlu memacu kecemerlangan, kepelbagaian, kesaksamaan, keterangkuman dan inovasi, memperkasa staf akademik dan pelajar, mengintegrasikan pemikiran sistem dalam tadbir urus, membina perkongsian mampan serta menyelaraskan institusi mereka dengan agenda reformasi pendidikan tinggi, termasuk daya saing global dan kesaksamaan sosial.

Industri akan...

  • mendapat manfaat daripada graduan yang menghayati nilai dan berpaksikan kemanusiaan, dengan kesedaran etika, empati dan tanggungjawab sosial yang tinggi, membolehkan mereka menyumbang secara bermakna sebagai pembina negara.
  • mengakses bakat yang siap siaga masa hadapan dengan kemahiran yang relevan serta pemikiran dipacu impak, seimbang dan memiliki kemahiran yang relevan untuk masa kini dan masa hadapan, termasuk AI, gabungan kemahiran teknikal dan analitik (sharp) serta sosial dan kemanusiaan (smart).
  • menerima graduan TVET yang cemerlang dalam kemahiran teknikal termaju berkaitan teknologi memuncul seperti AI, Internet Benda atau Internet of Things (IoT) dan keselamatan siber serta memiliki kemahiran insaniah yang mantap.
  • mendapat akses kepada penyelidikan terkini dan tenaga kerja berkemahiran tinggi dengan kecekapan STEAM yang diperlukan melalui RDICE.
  • memperoleh bakat untuk memacu amalan mampan, memenuhi matlamat alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), serta meningkatkan daya saing global.

Justeru, industri perlu bekerjasama dengan IPT melalui pembangunan kurikulum bersama, menyokong penyelidikan, menawarkan latihan industri serta memastikan keperluan tenaga kerja selari dengan tuntutan masyarakat dan perubahan global. Mereka juga harus menyediakan peluang kepada pelajar untuk mengaplikasikan kemahiran dan menyumbang kepada bakat siap siaga masa hadapan yang berorientasikan impak.

Komuniti akan...

  • mendapat manfaat daripada pemindahan ilmu, penyelesaian inovatif dan peluang pemerkasaan yang disediakan oleh IPT. 
  • menyertai inisiatif serta mengakses sumber untuk meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi.
  • memiliki pengetahuan teknikal untuk menyumbang kepada pembangunan negara maju dengan pendidikan TVET ditawarkan sebagai laluan yang fleksibel dan berdaya maju seiring dengan program arus perdana.
  • memperoleh manfaat daripada penyelidikan berimpak yang didorong oleh RDICE, khususnya dalam menangani cabaran sosioekonomi yang mendesak.
  • berpeluang membangunkan kemahiran sepanjang hayat dalam kemampanan dan kesihatan bumi melalui platform keterlibatan komuniti yang menyediakan pembelajaran secara praktikal, menyokong inovasi serta membolehkan penyelidik dan akademia mencipta impak dan nilai kepada masyarakat.
  • diberikan pilihan fleksibel untuk mengikuti pendidikan TVET sebagai laluan utama selain program arus perdana.

Justeru, masyarakat perlu bekerjasama dengan IPT dalam menangani cabaran setempat dan nasional, memberi maklum balas terhadap program, melibatkan diri dalam pembelajaran sepanjang hayat serta menyokong projek sosioekonomi. Mereka juga harus memperjuangkan peranan pendidikan tinggi dalam memacu kemajuan dan pembangunan masyarakat.

Kementerian akan...

  • memiliki ekosistem yang harmoni dan kolaboratif, membolehkan penyelarasan yang lancar dalam kalangan pihak berkepentingan pendidikan tinggi termasuk struktur tadbir urus TVET yang bersepadu.
  • menikmati tadbir urus yang diperkukuh serta keupayaan untuk merangka dasar yang bersifat keterangkuman dan berdaya saing di peringkat global, memastikan penglibatan pihak berkepentingan, memperkukuh kerjasama antara IPT dengan industri serta meletakkan Malaysia sebagai peneraju dalam pendidikan tinggi.
  • dapat menstruktur semula dasar dan tadbir urus bagi mengurangkan kerumitan pentadbiran, memperjelas keutamaan pendidikan, serta menyokong usaha yang lebih terselaras merentasi IPT.
  • mempunyai kawal selia yang lebih kukuh terhadap ekosistem RDICE, memperkasa peranannya dalam menjana kesan nyata terhadap pembangunan sosioekonomi, kesihatan bumi dan kemampanan, disokong oleh pemantauan berasaskan penunjuk prestasi utama serta pendekatan tadbir urus TVET yang bersepadu.
  • berupaya memperkukuh kemampanan kewangan melalui transformasi model perniagaan PTPTN.

Justeru, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) perlu menerajui perubahan dengan teladan, menstruktur semula dasar dan tadbir urus yang mengintegrasikan kepelbagaian, kesaksamaan dan keterangkuman (DEI) serta memastikan pengagihan pendanaan yang saksama. Kementerian juga harus menggalakkan kolaborasi, mengamalkan pendekatan seluruh negara (a whole-of-nation approach), melibatkan pihak berkepentingan, memantauhasil, memacu pengantarabangsaan dan menyelaraskan reformasi dengan keutamaan negara. Pegawai kementerian perlu bersikap responsif, berfokus kepada hasil dan menjadi pemangkin kepada perubahan transformasi.

Kerajaan akan...

  • menikmati kumpulan bakat yang berpaksikan kemanusiaan, berciri keusahawanan dan adaptif, mampu memperkukuh daya saing global dan ketahanan negara serta menyumbang kepada masyarakat yang makmur, harmoni dan maju.
  • mendapat manfaat daripada tenaga kerja siap siaga masa hadapan yang berdaya saing di peringkat global, menarik pelaburan langsung asing, merancakkan aktiviti ekonomi dan memperkukuh kedudukan Malaysia dalam ekonomi global yang dinamik dan berteraskan teknologi.
  • memastikan kesejahteraan masyarakat, pertumbuhan yang bersifat keterangkuman, pembangunan wilayah dan peluang yang saksama dengan mengaitkan hasil pendidikan tinggi kepada objektif sosioekonomi negara serta menyelaraskan dasar pendidikan dengan keutamaan ekonomi nasional.
  • meraih manfaat daripada tadbir urus yang menggalakkan kepelbagaian, kesaksamaan dan keterangkuman (DEI) denganmengukuh kerjasama merentas sektor, menyelaraskan dasar secara menyeluruh dan memastikan pembangunan sektor pendidikan tinggi serta negara yang lebih bersepadu.
  • memperoleh kedudukan global yang lebih kukuh melalui sistem pendidikan tinggi Malaysia yang diperhebat. Sebagai jenama yang dipercayai di peringkat antarabangsa, ia mempertingkat reputasi negara, menarik kolaborasi global serta mendorong pelaburan dalam penyelidikan, bakat dan pembangunan ekonomi.

Justeru, kerajaan perlu memperkukuh kerangka dasar, memastikan pendanaan yang mampan, serta menyokong kolaborasi yang terangkum dalam kalangan pihak berkepentingan. Kerajaan juga harus komited dalam mempertingkat tadbir urus, mengutamakan akses pendidikan yang saksama serta memacu inisiatif yang menyelaraskan hasil pendidikan tinggi dengan keutamaan negara. Dengan menerajui inovasi dan keterangkuman, kerajaan perlu menyokong kemajuan berterusan dalam sektor pendidikan tinggi.

Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Khamis 22 Januari 2026, 10:10:50.

logo-sirim