190126RPTMBannerv2.png

KEMAMPANAN DAN KESIHATAN BUMI


Mengapakah ia penting ?

Malaysia berada di kedudukan ke-12 dalam kalangan negara mega biodiversiti dunia dengan kepelbagaian flora dan fauna yang kaya. Namun, khazanah semula jadi negara kini terancam, dengan enam daripada sembilan had kemampanan bumi telah melebihi tahap selamat.

Keadaan ini memberi kesan negatif yang besar terhadap kesihatan rakyat, produktiviti tenaga kerja serta prospek ekonomi bagi pelbagai sektor yang bergantung kepada alam semula jadi dan sumber negara. Jika kemerosotan kemampanan bumi berterusan, ia akan membawa ketidakstabilan kepada struktur sosioekonomi dan kesejahteraan sosial negara.

Sektor pendidikan tinggi perlu melakukan perubahan transformasi yang menyeluruh dengan mengarusperdanakan kemampanan
dan kesihatan bumi dalam kepimpinan, pembangunan keupayaan, pendidikan, penyelidikan serta program Komunikasi, Pendidikan dan Kesedaran Awam atau Convention’s Communication, Education and Public Awareness (CEPA).

Apakah kejayaan yang ingin dicapai?

Sektor pendidikan tinggi Malaysia akan memperoleh, membangun dan mengekalkan bakat yang mempunyai pengetahuan kukuh dalam kesihatan bumi dan kemampanan, selaras dengan SDG dan ESG. Langkah ini akan membolehkan IPT mewujudkan persekitaran yang kondusif dan menyokong pembangunan profesional, bagi memastikan masyarakat, tenaga kerja serta perniagaan dapat mengamalkan pendekatan mesra bumi dan amalan terbaik kemampanan di peringkat global.

Sumbangan ini akan meningkatkan kedudukan global IPT Malaysia serta memperkukuh aspirasi negara untuk menjadi hab global bagi pendidikan dan penyelidikan kesihatan bumi serta kemampanan. Tenaga kerja dan bakat yang mengutamakan kemampanan bumi akan memperkasa ekosistem RDICE, membentuk kluster industri mesra bumi serta membantu industri Malaysia bergerak ke tahap lebih tinggi dalam rantaian nilai inovasi dan daya saing global. Pemulihan keseimbangan ekologi bumi, seiring dengan kemajuan dasar dan inisiatif berteraskan kemampanan akan membuktikan impak sebenar transformasi ini terhadap khazanah semula jadi negara serta kesejahteraan rakyat.

Bagaimanakah kita akan mencapainya?

Bagi mencapai matlamat ini, Kementerian akan memberi tumpuan kepada:

  • Memperkasa kepimpinan IPT dalam kemampanan dan kesihatan bumi dengan mengukuhkan kepimpinan yang berlandaskan prinsip kemampanan, menggalakkan pengurusan yang bertanggungjawab, serta membentuk budaya kesedaran terhadap kemampanan dan kesihatan bumi dalam komuniti kampus.
  • Mengarusperdanakan kemampanan dan kesihatan bumi dalam kurikulum dengan mengintegrasikan prinsip kemampanan dan kesihatan bumi ke dalam semua program. Strategi ini akan melibatkan kerjasama erat antara IPT, industri dengan komuniti bagi menyediakan pembelajaran pengalaman kepada pembelajar, membantu mengurangkan pelanggaran had kemampanan bumi, serta memastikan transformasi kurikulum pelbagai disiplin yang mampu melahirkan bakat mesra bumi dan menyokong peralihan industri ke arah rantaian nilai dan pekerjaan yang lebih mesra alam.
  • Menginstitusikan kemampanan dan kesihatan bumi dalam agenda pendidikan tinggi negara dengan membangunkan bakat masa hadapan serta penyelidikan yang menyokong agenda kemampanan negara. Inisiatif ini akan melahirkan pembelajar yang berfokus kepada kemampanan melalui Buku Panduan Pendidikan Tinggi untuk Kesihatan Bumi dan Kemampanan.
  • Mewujudkan persekitaran dan ekosistem mesra bumi dengan membangunkan kampus yang mampan, menerapkan nilai kesedaran ekologi, serta melaksanakan amalan berimpak tinggi yang memajukan pendidikan dan pengetahuan berkaitan kemampanan dan kesihatan bumi dalam kalangan generasi masa kini dan akan datang.
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Khamis 22 Januari 2026, 10:10:50.

logo-sirim