
Mengapakah ia penting ?
Kemampanan kewangan membolehkan IPT mengekalkan kecemerlangan dalam pengajaran, penyelidikan, inovasi dan perkhidmatan dalam jangka panjang, memastikan mereka dapat terus berperanan sebagai penyumbang utama kepada kemajuan masyarakat dan ekonomi. Sistem pendidikan tinggi yang mampan dari segi kewangan menggalakkan kebergantungan kendiri, mengurangkan kebergantungan berlebihan kepada kerajaan serta membolehkan institusi menyesuaikan diri dengan perubahan landskap pendanaan.
Dengan kedudukan kewangan yang kukuh IPT dapat beroperasi dengan cekap, melabur dalam pembangunan infrastruktur dan inovasi serta kekal tangkas dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi pascanormal bagi memastikan kelangsungan dan perkembangan dalam persekitaran global yang tidak menentu. Kemampanan kewangan juga membolehkan IPT memperluaskan akses pendidikan tinggi melalui program bantuan kewangan dan inisiatif sokongan yang berkesan, memastikan pendidikan tinggi dapat dinikmati oleh semua golongan masyarakat tanpa mengira latar belakang sosioekonomi.
Apakah kejayaan yang ingin dicapai?
IPT awam dan swasta akan memanfaatkan sumber pendanaan yang pelbagai bagi meningkatkan kualiti program secara berterusan, di samping mengamalkan pengurusan sumber yang lebih inovatif dan cekap. Mereka akan memperkukuh tadbir urus kewangan dengan menekankan kebertanggungjawaban dan ketelusan bagi membina kepercayaan pihak berkepentingan. Model perniagaan yang lebih mantap akan digunakan bagi menambah baik inisiatif pinjaman pelajar, memastikan pembiayaan pendidikan lebih menyeluruh serta diagihkan secara saksama.
Bantuan bersasar akan menjadikan yuran pengajian lebih berpatutan dan mudah diakses terutamanya bagi pelajar daripada latar belakang sosioekonomi yang mencabar sekali gus menggalakkan keterangkuman. Selain itu, kerajaan akan terus melabur secara signifikan dalam pendidikan tinggi dengan memperuntukkan sebahagian besar daripada belanjawan negara dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi memastikan ketahanan dan kemajuan sistem pendidikan tinggi dalam jangka panjang.
Bagaimanakah kita akan mencapainya?
Bagi mencapai matlamat ini, kementerian akan melaksanakan pendekatan pelbagai dimensi untuk menyokong IPT dalam merealisasikan kemampanan kewangan. Antara inisiatif utama yang akan diperkenalkan termasuk:
Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara