190126RPTMBannerv2.png

KEUNGGULAN GLOBAL


Mengapakah ia penting ?

Malaysia Lanskap pendidikan tinggi global berkembang pesat, didorong oleh peningkatan mobiliti bakat, kemajuan teknologi dan persaingan yang semakin sengit menggariskan cita-cita Malaysia untuk beralih daripada hab pendidikan serantau kepada hab pendidikan global.

Dengan memposisikan diri sebagai pusat pendidikan berkualiti dan pembangunan bakat bertaraf global, Malaysia berhasrat menarik pelajar daripada pelbagai latar belakang, memacu inovasi serta melahirkan graduan yang bersedia untuk kepimpinan global. Transformasi ini akan meningkatkan kedudukan Malaysia di peringkat antarabangsa, menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, memperkukuh diplomasi pendidikan serta menjadikan negara sebagai pemain utama dalam arena pendidikan tinggi global

Apakah kejayaan yang ingin dicapai?

Malaysia akan diiktiraf sebagai hab pendidikan tinggi global yang dicirikan oleh kecemerlangan akademik, keterangkuman dan kebolehpercayaan. Peningkatan enrolmen pelajar antarabangsa daripada pelbagai negara, disokong oleh dasar imigresen yang lebih strategik serta pengalaman pembelajaran bertaraf dunia, akan memperkasa graduan institusi pendidikan tinggi (IPT) Malaysia untuk muncul sebagai pemimpin berpengaruh di peringkat global.

IPT akan cemerlang dalam penyelidikan berimpak tinggi dan perkongsian dengan institusi antarabangsa terkemuka, sekali gus memperkukuh reputasi mereka dalam aspek kualiti dan inovasi. Amalan jaminan kualiti yang kukuh akan mengangkat kedudukan global sistem pendidikan tinggi Malaysia, memastikan kredibilitinya sebagai penyedia pendidikan yang dipercayai dan kaya dengan kepelbagaian budaya. Rangkaian alumni yang mantap akan terus memperluas pengaruh Malaysia dalam ekonomi berasaskan pengetahuan di peringkat global.

Bagaimanakah kita akan mencapainya?

Bagi mencapai matlamat ini, Kementerian akan memberi tumpuan kepada:

  • Memperkukuh kualiti institusi dan pengiktirafan global dengan membangunkan metrik akauntabiliti yang kukuh serta menyelaraskan piawaian akreditasi dengan penanda aras global. Langkah ini memastikan institusi pendidikan tinggi Malaysia kekal berwibawa, mendapat pengiktirafan bersama dan terus berdaya saing di peringkat antarabangsa.
  • Membangunkan perkongsian strategik global untuk diplomasi pendidikan melalui perluasan kolaborasi akademik, program kepimpinan serta biasiswa berprestij bagi menarik bakat antarabangsa terbaik dan membina rangkaian antarabangsa yang berimpak tinggi.
  • Mewujudkan pengalaman pembelajaran bertaraf dunia dengan membangunkan persekitaran pembelajaran yang terangkum dan berbilang budaya, memperkemas proses pentadbiran serta meningkatkan peluang pemindahan kredit bagi menyokong laluan pendidikan global yang lancar.
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 23 Januari 2026, 09:07:53.

logo-sirim