190126RPTMBannerv2.png

RDICE BERTANGGUNGJAWAB


Mengapakah ia penting ?

RDICE yang Bertanggungjawab memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan mampan yang berimpak tinggi serta memperkukuh daya saing global Malaysia. Dengan memberi keutamaan kepada kedaulatan negara, pendekatan ini dapat mengurangkan kebergantungan kepada sumber luar dan memperkukuh inovasi tempatan, sekali gus menyumbang kepada ekonomi yang lebih berdaya tahan. Bagi mengintegrasikan kemampanan dan kesihatan bumi dalam ekosistem penyelidikan, pembangunan dan inovasi atau research, development and innovation (RDI), Malaysia perlu menyelaraskan aspirasi ekonominya dengan matlamat alam sekitar, sosial dan tadbir urus atau environmental, social and governance (ESG) serta terus memacu matlamat pembangunan mampan atau sustainable development goals (SDG).

Pendekatan ini dirangka untuk membangunkan lebih ramai penyedia pekerjaan berkualiti serta melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi, yang secara langsung dapat meningkatkan kedudukan Malaysia dalam Indeks Inovasi Global atau Global Innovation Index (GII). Melalui penerapan RDICE Bertanggungjawab, dana penyelidikan seperti Dana Penyelidikan Akademia atau Academia Research Funds (AReF) akan memperkasa peranan IPT dalam menjana pengetahuan, menangani cabaran masyarakat, serta menghasilkan penyelesaian yang dapat meningkatkan kualiti hidup rakyat Malaysia. Malaysia perlu terus berkembang dalam pendekatan terhadap RDI dengan memastikan prinsip ini tertanam dalam kerangka ekonomi negara untuk memacu kemajuan yang bersifat transformasi.

Apakah kejayaan yang ingin dicapai?

Mekanisme AReF yang dirancang secara bersepadu dan holistik akan menyediakan asas kukuh bagi memacu RDICE yang berorientasikan misi serta menggalakkan kerjasama merentas sektor. Pendekatan ini memastikan peralihan yang lancar daripada peringkat idea kepada inovasi bagi memenuhi keperluan pasaran dan masyarakat serta melahirkan bakat yang berdaya saing, terangkum dan berdaya tahan.

Bagi mengukuhkan ekosistem ini, elemen “bertanggungjawab” dalam RDICE akan diterapkan dengan memastikan pematuhan kepada amalan etika dalam kalangan pihak berkepentingan serta memupuk penggunaan sumber dan kepakaran secara mampan dan bertanggungjawab dalam usaha RDI yang berorientasikan misi bagi kesejahteraan masyarakat dan bumi. Sistem yang bersifat holistik dan bersepadu ini akan memperkukuh kerjasama rentas sempadan, pemindahan teknologi, perkongsian sumber, perlindungan harta intelek, akses pasaran serta pertumbuhan ekonomi negara.

Bagaimanakah kita akan mencapainya?

Bagi mencapai matlamat ini, Lonjakan ini akan memberi tumpuan kepada pembinaan ekosistem menyeluruh yang sejajar dengan prinsip RDICE yang berorientasikan misi, menggalakkan penyelidikan beretika, merangsang pertumbuhan sosioekonomi dan memperkukuh hubungan pihak berkepentingan dalam heliks kuintupel atau quintuple helix. Strategi utama termasuk:

  • Membangunkan ekosistem kukuh yang mengintegrasikan AReF bagi memacu RDI yang berorientasikan misi sambil meningkatkan daya saing global serta inovasi yang mengutamakan amalan penyelidikan beretika dan kelestarian. AReF juga akan memperuntukkan geran bagi inisiatif libat urus komuniti sekali gus menggalakkan proses percambahan idea secara kolaboratif.
  • Melaksanakan mekanisme insentif dan sokongan bagi merangsang inisiatif serta projek RDICE yang dipacu industri.
  • Memperkukuh pembangunan bakat dan kepimpinan dalam RDICE untuk membudayakan inovasi berimpak tinggi menerusi pengkomersialan idea.

Langkah-langkah ini bertujuan untuk membentuk persekitaran penyelidikan dan inovasi yang berkembang maju seterusnya memacu kemajuan negara serta mengukuhkan kedudukan Malaysia di peringkat global.

Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 23 Januari 2026, 09:07:53.

logo-sirim