
Transformasi sistem pendidikan tinggi Malaysia selama 10 tahun di bawah RPTM 2026–2035 disusun secara strategik dalam tiga gelombang bagi memastikan pelaksanaan yang berkesan, kemajuan yang berterusan serta mengelakkan bebanan sistem dan kelesuan dalam pelaksanaan. Kementerian telah menyusun fasa pelaksanaan strategi dan inisiatif bagi 10 Lonjakan secara berperingkat dalam setiap gelombang, memastikan setiap peringkat membina asas untuk peringkat seterusnya selaras dengan keupayaan, kapasiti dan tahap kesediaan institusi pendidikan tinggi (IPT) yang semakin berkembang.
Gelombang ini telah diselaraskan dengan pelaksanaan RPTM 2026-2035:
Cetus memberi tumpuan kepada pembinaan rangka kerja asas serta pelaksanaan rintis bagi inisiatif utama. Keutamaan diberikan kepada penerapan pembelajaran beretika dan berteraskan penghayatan nilai, pemerkasaan rangka kerja kesihatan mental dan kepelbagaian serta pengukuhan tadbir urus melalui inisiatif seperti Akta Satu Pendidikan Tinggi atau One Higher Education Act (OHEA). Bagi program TVET, gelombang ini akan membina struktur tadbir urus yang kukuh, memperkenalkan sistem pensijilan yang sejajar dengan industri serta menyediakan laluan pembelajaran fleksibel. Dari segi kemampanan kewangan, modelpendanaan inovatif, zakat dan dana wakaf akan diperkenalkan bagi memperkukuh pembiayaan pendidikan. Bagi RDICE Bertanggungjawab, usaha akan tertumpu kepada penyatuan mekanisme pembiayaan penyelidikan, memastikan keutamaan diberikan kepada penyelidikan beretika. Sementara itu, inisiatif untuk pengukuhan jenama global akan meletakkan asas kepada kerjasama antarabangsa dan penanda aras global. Pendidikan fleksibel dan kurikulum yang berfokus kepada kemampanan akan memastikan sistem pendidikan tinggi lebih terangkum sekali gus mempersiapkan IPT untuk transformasi yang lebih mendalam dalam gelombang seterusnya.
Pacu mempercepatkan reformasi struktur bagi memacu inovasi dan daya saing global. Tadbir urus akan diperkukuh melalui pelaksanaan penuh OHEA serta pengukuhan kerangka bakat bagi kepimpinan. Hubungan dengan industri dan komuniti akan diperluas, membentuk perkongsian strategik bagi memastikan pendidikan selari dengan keperluan pasaran.
Pendidikan yang fleksibel dan terangkum akan diperluas menerusi kursus modular, micro-credential dan alat pembelajaran berasaskan AI. Inisiatif kemampanan akan diintegrasikan ke dalam semua aktiviti pendidikan, penyelidikan dan kehidupan kampus melalui amalan mesra alam.
Kedudukan Malaysia di peringkat global akan diperkukuh menerusi program pendidikan rentas sempadan, perkhidmatan pelajar antarabangsa yang lebih cekap serta kerjasama penyelidikan berimpak tinggi dalam perubahan iklim dan kemampanan.
Tingkat mengukuhkan hasil reformasi untuk meletakkan Malaysia sebagai peneraju global dalam pendidikan tinggi. IPT akan mencapai pengiktirafan antarabangsa dalam kecemerlangan penyelidikan dan kepimpinan dalam kemampanan.
Kemampanan kewangan akan diperkukuh melalui model pembiayaan yang mantap serta dana endowmen. Laluan pembelajaran sepanjang hayat akan diwujudkan sepenuhnya, memastikan pendidikan fleksibel untuk pelbagai lapisan masyarakat termasuk komuniti terpinggir.
Keutamaan akan diberikan kepada pembuatan keputusan berasaskan data serta keterangkuman, bagi meningkatkan akses dan kadar tamat pengajian bagi kumpulan yang kurang mendapat perwakilan seperti OKU dan Orang Asli.
Apabila transformasi ini direalisasikan sepenuhnya, sistem pendidikan tinggi Malaysia akan menjadi berdaya saing di peringkat global, terangkum, mampan dari segi kewangan serta selari dengan keperluan dunia yang pesat berubah, melahirkan graduan yang adaptif, beretika dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.
Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara