190126RPTMBannerv2.png

PENDIDIKAN FLEKSIBEL DAN PEMBELAJARAN SEPANJANG HAYAT


Mengapakah ia penting ?

Sifat teknologi yang sentiasa berkembang serta kejadian disruptif menuntut pendekatan pendidikan yang fleksibel dan berterusan sepanjang hayat. Tenaga kerja Malaysia perlu sentiasa bersedia menghadapi cabaran memuncul, memperoleh kemahiran baharu serta memperbaharui kemahiran bagi mengekalkan daya saing dalam ekonomi global yang sentiasa berubah.

Pembelajar masa kini mencari pengalaman pembelajaran yang diperibadikan, yang selaras dengan matlamat dan aspirasi kendiri mereka. Permintaan terhadap pendidikan yang fleksibel semakin meningkat dengan pentauliahan alternatif menjadi semakin bernilai untuk pembangunan peribadi dan profesional. Selain itu, perungkaian pendidikan melalui pengalaman pembelajaran modular dan tersuai semakin mendapat perhatian. Pendidikan fleksibel dan pembelajaran sepanjang hayat membolehkan pembelajar mengakses pendidikan yang menepati keperluan mereka, sekali gus memperkukuh ketahanan dan keupayaan negara dalam menghadapi gangguan.

Apakah kejayaan yang ingin dicapai?

Pendidikan fleksibel dan pembelajaran sepanjang hayat akan diintegrasikan sepenuhnya dalam sistem pendidikan tinggi Malaysia. Laluan pembelajaran akan lebih lancar dengan hubungan yang lebih erat antara pembelajaran formal, bukan formal dan tidak formal, membolehkan individu mengakses serta menggabungkan pelbagai pentauliahan untuk mencapai matlamat peribadi dan profesional mereka.

Pendidikan akan menjadi lebih mudah diakses, fleksibel dan disokong oleh teknologi inovatif serta disruptif, memastikan ia keterangkuman dan kerelevanannya merentas semua lapisan masyarakat. Institusi Malaysia akan diiktiraf di peringkat global sebagai peneraju dalam penyampaian pendidikan fleksibel berkualiti tinggi yang memenuhi keperluan tenaga kerja di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Bagaimanakah kita akan mencapainya?

Bagi mencapai matlamat ini, Kementerian akan memberi tumpuan kepada:

  • Memperkemaskan proses perungkaian dengan mengurangkan halangan birokrasi tanpa menjejaskan kawalan kualiti bagi memastikan pengiktirafan yang lebih menyeluruh terhadap pelbagai bentuk pengalaman pembelajaran dan laluan akademik.
  • Membangunkan IPT sebagai pusat pembelajaran sepanjang hayat yang mampan dengan membangunkan serta menyampaikan program pendidikan inovatif, memperkasa pembangunan kemahiran secara berterusan dan memastikan akses pembelajaran yang terangkum di semua peringkat kehidupan.
  • Menyediakan insentif bagi usaha pendidikan fleksibel dengan memberi sokongan bersasar kepada IPT dan tenaga pengajar dalam membangunkan program pembelajaran yang berkualiti tinggi dan inovatif. Memupuk penerimaan dan kesiapsiagaan teknologi memuncul secara beretika dan bertanggungjawab sejajar dengan keperluan tenaga kerja dan pembelajar yang berkembang.
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 23 Januari 2026, 09:07:53.

logo-sirim