Program Chit-Chat MADANI Dekatkan Ahli Parlimen Dengan Para Pelajar IPT

Program Chit-Chat MADANI Dekatkan Ahli Parlimen Dengan Para Pelajar IPT

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir telah meluangkan masa bersama para pemimpin pelajar dalam Program Chit Chat MADANI siri kedua bersama Backbenchers Club (BBC) yang berlangsung di Auditorium Parlimen Malaysia pagi tadi.

Beliau mengambil kesempatan tersebut untuk mendengar pandangan para pemimpin pelajar mengenai pelbagai isu semasa serta berkongsi hala tuju pendidikan tinggi negara.

Seramai 60 orang pelajar dari pelbagai Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) seluruh negara, termasuk wakil Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) telah hadir menjayakan program tersebut.

Bertemakan "Leading with Empathy: Excellence with Soul", program tersebut bertujuan untuk mencipta platform dialog antara pemimpin pelajar dan ahli Parlimen BBC yang terdiri daripada YB Datuk Seri Utama Ir. Hasni Mohammad (Simpang Renggam), YB Dato’ Sri Doris Sophia Anak Brodi (Sri Aman) dan YB Tuan Khoo Poay Tiong (Kota Melaka).

Dalam sesi interaktif itu tadi, para pelajar berpeluang berkongsi idea serta bertukar pandangan intelektual dengan ahli Parlimen sambil menyaksikan sendiri proses perbahasan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang memberi mereka pemahaman lebih mendalam tentang sistem politik negara.

Program ini mencerminkan komitmen Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam mendekatkan mahasiswa kepada proses politik negara serta membangunkan pemimpin masa depan yang matang dan berwawasan.

Siri Chit Chat MADANI akan terus diadakan untuk memastikan kesinambungan dialog yang bermanfaat antara mahasiswa dan ahli politik. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 304
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Khamis 13 Februari 2025, 07:17:37.

logo-sirim