KPT Lancar MTUN NEXUS, Model Baharu Kerjasama Universiti-Industri

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud hari ini melancarkan MTUN Nexus, sebuah model kerjasama universiti-industri sempena penganjuran Global Trends in Engineering, Science dan Technology Congress 2025 (GTEST 2025) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur siang tadi.
YB Datuk Ts. Mustapha menegaskan MTUN Nexus menjadi pemacu strategi baharu dalam memperkukuh jaringan kerjasama universiti teknikal dengan industri bagi meningkatkan keberkesanan penyelidikan, inovasi dan pembangunan bakat.
MTUN Nexus dibangunkan melalui projek ‘Strategic Synergy Model for the Malaysia Technical University Network University-Industry Partnership’ yang dibiaya oleh inisiatif 'Going Global Partnerships’ British Council dan Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT) sejak November 2021 hingga September 2025.
Model ini merangkumi enam (6) portfolio utama iaitu Tenaga Boleh Baharu, Pertanian 4.0, Mobiliti 4.0, Elektrikal dan Elektronik, Pembuatan 5.0 serta Infrastruktur Digital Pintar 4.0 dengan penyertaan UMPSA, UTHM, UniMAP dan UTeM.
GTEST 2025 yang dihoskan oleh Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menghimpunkan hampir 500 peserta dari 15 negara, sekali gus mencatat peningkatan berbanding 450 peserta pada tahun lalu.
YB Datuk Ts. Mustapha menyifatkan penganjuran itu mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab inovasi serantau yang berperanan menghubungkan penyelidik, industri dan pembuat dasar.
Menurut beliau, bidang kejuruteraan sedang melalui fasa ‘Renaissance’ yang dipacu kemajuan teknologi pesat serta penekanan kepada penyelesaian berteraskan manusiawi, dan kerajaan komited memberi sokongan melalui dasar, pembiayaan serta hubungan industri.
GTEST 2025 turut menyatukan 11 persidangan utama termasuk ‘Malaysian Technical Universities Conference on Engineering dan Technology’ (MUCET 2025) yang buat pertama kali disertai Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) dan MTUN+ untuk memperkukuh agenda TVET negara.
YB Datuk Ts. Mustapha menegaskan usaha ini selaras dengan Dasar TVET Negara 2030 yang memberi tumpuan kepada pembangunan tenaga kerja mahir, keterangkuman sosial dan peningkatan daya saing global.
Beliau menutup ucapannya dengan menyeru industri, penyelidik dan institusi antarabangsa memanfaatkan MTUN Nexus dan GTEST sebagai jambatan kerjasama serta pelancar inovasi berimpak tinggi untuk masa depan negara.
Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah UniMAP, Tan Sri Dato’ Sri Sufri Mhd Zain; Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli; serta Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Prof. Dr. Yatimah Alias.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 188