Program KARISMA Antarabangsa Bentuk Duta Kecil Malaysia MADANI

Program KARISMA Antarabangsa Bentuk Duta Kecil Malaysia MADANI

“Anak-anak Malaysia yang berada di luar negara adalah duta kecil negara yang membawa imej tanah air melalui akhlak, disiplin dan kecemerlangan,” pesan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir ketika sesi dialog bersama para pelajar dalam Program Karisma Antarabangsa: Kenegaraan Malaysia MADANI di sini petang tadi.

Program anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) itu menghimpunkan seramai 400 pelajar tajaan kerajaan yang bakal melanjutkan pengajian ke luar negara bagi sesi akademik 2025/2026.

Mereka akan ke Mesir, Jordan, Maghribi, United Kingdom dan Australia untuk mengikuti pengajian dalam pelbagai bidang di universiti terkemuka dunia.

YB Menteri dalam ucapannya menekankan bahawa cabaran penyesuaian budaya dan persekitaran di luar negara harus ditempuh dengan tekad mencari ilmu kerana proses tersebut akan mematangkan diri serta memperkukuh daya juang.

Beliau turut mengingatkan agar mahasiswa membina jaringan global yang boleh dimanfaatkan selepas pulang ke tanah air, di samping mengekalkan reputasi pelajar Malaysia yang sering dikenali dengan disiplin dan kecemerlangan.

Menurut beliau, generasi muda tidak boleh terikat dengan laluan kerjaya tradisional semata-mata, sebaliknya perlu berani meneroka bidang multidisiplin termasuk teknologi, kewangan Islam dan sains sosial yang semakin relevan.

YB Menteri turut berkongsi bahawa kejayaan individu pelajar di luar negara adalah cerminan kejayaan negara, justeru setiap pencapaian perlu dipulangkan dalam bentuk sumbangan kepada pembangunan Malaysia.

Program Karisma Antarabangsa memberi penekanan terhadap semangat patriotisme, jati diri serta pemahaman mengenai sistem demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan sebagai persediaan pelajar Malaysia di persada global.

Pelaksanaan program ini juga selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menitikberatkan keseimbangan antara ilmu, kemahiran dan nilai kenegaraan dalam melahirkan graduan yang berdaya saing.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian; serta Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 295
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 19 September 2025, 04:30:59.

logo-sirim