CXF 2025 Anjuran JPPKK–PROFIMA Buka Ruang Kolaborasi Industri

CXF 2025 Anjuran JPPKK–PROFIMA Buka Ruang Kolaborasi Industri

Festival Creative Xperience Festival (CXF) 2025 anjuran Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) melalui Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) dengan kerjasama Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) berperanan sebagai platform memperkukuh jalinan akademia dan industri kreatif negara.

Festival yang julung-julung kali diadakan itu bertujuan meningkatkan profesionalisme, merangsang bakat kreatif pelajar serta membuka ruang kerjasama jangka panjang bersama industri.

Bertemakan “Mengilham Warisan, Meneroka Dunia Digital”, CXF 2025 menampilkan pelbagai pengisian seperti Bicara Santai Industri Kreatif, bengkel industri, tayangan filem dan animasi, pertandingan seni kreatif, pameran karya pelajar POLYCC serta Anugerah PROFIMA.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud yang merasmikan festival itu berkata industri kreatif adalah sektor bernilai tinggi, menyumbang kepada ekonomi digital negara selain membentuk identiti budaya dan warisan bangsa.

Beliau menegaskan tema CXF 2025 signifikan kerana menyatukan kekayaan tradisi dengan teknologi semasa, sekali gus mengangkat bakat muda agar terus berdaya saing di pentas global.

Majlis turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU), Nota Persefahaman (NoU) dan Surat Hasrat (LoI) antara JPPKK dan rakan industri sebagai tanda komitmen kolaborasi.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) JPPKK, Dr. Shamsuri Abdullah; Pengarah Bahagian Kurikulum JPPKK, Dr. Zamzam Mohd Walid; Pengarah PTSS, Ts. Khairul Anuar Ishak; dan Presiden PROFIMA, Khalil Salleh.

Kehadiran tokoh akademik dan penggiat industri turut mengangkat peranan CXF 2025 sebagai platform penting dalam menyokong agenda Malaysia MADANI berteraskan ilmu, budaya, inovasi dan kelestarian. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 188
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 19 September 2025, 04:30:59.

logo-sirim