Taylor’s University Terima Pengiktirafan Status Swaakreditasi Daripada MQA

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) terus memperkukuh agenda jaminan kualiti pendidikan tinggi negara apabila menganugerahkan Status Swaakreditasi kepada Taylor’s University, meletakkan institusi ini dalam kelompok IPT yang diiktiraf mempunyai sistem penjaminan kualiti dalaman bertaraf tinggi.
Pengumuman tersebut dibuat bersempena Majlis Perasmian Taylor’s 16th International Teaching & Learning Conference yang disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir semalam.
Status Swaakreditasi mencerminkan keyakinan kerajaan terhadap keupayaan sesebuah IPT mengekalkan piawaian akademik yang tinggi serta pengurusan kualiti yang mantap.
Melalui pengiktirafan ini, Taylor’s University mempunyai kuasa mengakreditasi sendiri program akademik melalui Jawatankuasa Senatnya, manakala program profesional kekal tertakluk kepada badan profesional berkaitan.
Dalam ucapan perasmian, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry merakamkan ucapan tahniah kepada Taylor’s University dan menegaskan pencapaian ini sebagai bukti kepercayaan kerajaan terhadap universiti berkenaan untuk melahirkan graduan berkualiti, berdaya saing global serta berkomitmen kepada masyarakat.
Menurut MQA, status ini meletakkan Taylor’s University dalam kalangan hanya 20 Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) negara yang diiktiraf, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia di persada pendidikan antarabangsa.
MQA turut menegaskan komitmen untuk terus memperkasa sistem jaminan kualiti negara agar pengiktirafan seperti ini mengekalkan keyakinan masyarakat global terhadap IPT Malaysia.
Penganugerahan ini bukan sahaja suatu penghormatan, malah tanggungjawab besar kepada Taylor’s University untuk terus berinovasi serta memberi impak bermakna kepada industri dan masyarakat.
Majlis ini menyerlahkan peranan KPT dan MQA dalam memacu agenda kualiti pendidikan tinggi negara melalui kerjasama erat bersama IPT bagi memastikan Malaysia kekal sebagai hab serantau pendidikan bertaraf dunia.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran; serta Naib Canselor merangkap Presiden Taylor’s University, Prof. Barry Winn.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 298