Ketua Setiausaha KPT Hadir Sambutan Hari Malaysia 2025

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Datuk Dr. Anesee Ibrahim hadir ke Sambutan Hari Malaysia 2025 yang berlangsung di PICCA Convention Centre @ Butterworth Arena semalam.
Lebih 10,000 pengunjung membanjiri acara anjuran bersama Kerajaan Negeri Pulau Pinang itu yang bertemakan “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni” dengan pelbagai pengisian kebudayaan.
Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Haji Ramli Ngah Talib menyempurnakan simbolik perasmian sambutan diiringi Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Utama Anwar Ibrahim; Timbalan Premier Sarawak, YB Datuk Amar Douglas Uggah Embas; dan Timbalan Ketua Menteri Sabah, YB Datuk Ir. Shahelmey Yahya.
Acara kemuncak menyaksikan sesi menandatangani Buku Khas Sambutan Hari Malaysia 2025 dan upacara memotong kek Hari Malaysia ke-62, serta penyampaian hadiah utama “Gerakan Bersama Malaysiaku” kepada tiga (3) orang pemenang bertuah.
Selain itu, persembahan Orkestra Tradisional Malaysia Istana Budaya, artis tanah air dan kumpulan tarian pelbagai etnik turut menyerikan lagi acara sebelum ditutup meriah dengan pertunjukan bunga api.
Hadir sama, Menteri Komunikasi merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025, YB Datuk Fahmi Fadzil; Ketua Menteri Pulau Pinang merangkap Pengerusi Bersama Sambutan Hari Malaysia 2025, YAB Tuan Chow Kon Yeow; Menteri-menteri Kabinet; kepimpinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Negeri Sarawak.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 101