112 Pasukan Asia Berentap Dalam Kejohanan Debat ABP 2025

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud telah menyempurnakan majlis penutup serta penyampaian hadiah Kejohanan Debat Parlimen British Peringkat Asia (Asian British Parliamentary Debating Championship, ABP) 2025 yang menghimpunkan 112 buah pasukan universiti dari seluruh Asia di Kuantan semalam.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan pendidikan tinggi bukan sekadar pemindahan ilmu tetapi juga pemupukan kebijaksanaan, pemikiran kritis dan empati sebagai asas kepimpinan masa depan.
Beliau menambah, visi pendidikan tinggi Malaysia ialah melahirkan graduan berkemahiran tinggi yang mampu menjadi warganegara global, merapatkan budaya, menyelesaikan masalah dan menyumbang secara bermakna kepada masyarakat.
"Kemenangan sebenar dalam debat bukanlah mengalahkan lawan, tetapi memperdalam kefahaman diri dan meluaskan perspektif," katanya sambil menghargai semua peserta dan berpesan agar mereka terus menyalakan api perdebatan dalam kehidupan seharian.
Pertandingan berprestij itu dianjurkan oleh Pusat Debat dan Oratori Dunia (IWON), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), dengan penyertaan dari negara termasuk Bangladesh, China, Jepun, Korea Selatan, Singapura, Malaysia serta beberapa lagi.
ABP yang menggunakan format Parlimen British (British Parliamentary, BP) merupakan platform penting persiapan menjelang Kejohanan Debat Universiti Dunia (WUDC) di Bulgaria pada Disember depan selain menjadi medan melatih generasi muda berfikiran kritis, inovatif dan berketerampilan global.
Acara kemuncak di Kuantan mempertemukan universiti ternama termasuk University of Tokyo, Waseda University, Universiti Malaya dan Nanyang Technological University dalam dua (2) kategori iaitu Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Asing (EFL) dan kategori terbuka.
YB Datuk Ts. Mustapha menzahirkan penghargaan kepada penganjur, juri, sukarelawan serta pihak UIAM yang memastikan kejohanan ini berjaya menjadi platform persahabatan global dan pertukaran intelektual.
ABP 2025 sekali gus mengukuhkan peranan UIAM sebagai pusat kecemerlangan ilmu dan wacana antarabangsa yang komited melahirkan mahasiswa berdaya saing di pentas dunia.
Turut hadir Timbalan Rektor (Pembangunan Pelajar dan Libatsama Komuniti) UIAM, Prof. Dato` Dr. Mohamad Fauzan Noordin bersama dekan, pegawai kanan universiti, wakil institusi antarabangsa serta para pelajar.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 111