UMPSA Cipta Sejarah Terima Pengiktirafan Ecocampus Green Flag
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) muncul sebagai Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) pertama di Malaysia menerima pengiktirafan antarabangsa EcoCampus Green Flag pada Persidangan Antarabangsa Eco-Campus (ECIC) 2025 di ibu negara semalam.
Pengiktirafan tersebut disampaikan sempena majlis pelancaran Program Eco-Campus Malaysia yang disempurnakan oleh Yang Amat Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dengan titah diraja baginda dibacakan oleh Yang Amat Mulia Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilisha Ameera binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaku wakil rasmi baginda.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud, yang turut berucap berkata pengiktirafan itu membuktikan komitmen Kementerian melalui UMPSA untuk menjadikan kelestarian sebagai teras pembangunan universiti dan seiring dengan Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPTM) 2025–2035.
“UMPSA telah membuktikan bahawa pendekatan makmal hidup, tadbir urus data karbon serta perkongsian industri mampu diterjemahkan ke dalam ekosistem kampus.
Kejayaan ini menjadi penanda aras kepada semua Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) di negara ini,” katanya.
Majlis itu turut menyaksikan pelancaran Pelan Induk Pemerkasaan Masa Depan Hijau Malaysia (Empowering Malaysia’s Green Future Masterplan 2025–2030, EMGF) yang memberi hala tuju kepada transformasi lebih 10,000 sekolah dan institut pendidikan guru, menyokong 200,000 orang tenaga pengajar serta membina ekosistem nasional pendidikan kelestarian.
UMPSA juga menandatangani memorandum persefahaman dengan Rangkaian Universiti Segitiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (Indonesia-Malaysia-Thailand Growth Triangle University Network, IMT-GT UNINET) untuk memperkukuh kerjasama penyelidikan bersama, pembelajaran berasaskan pekerjaan dan pembangunan mikro-credential hijau.
Turut hadir, Naib Canselor UMPSA, Prof. Dr. Yatimah Alias, wakil pertubuhan antarabangsa serta perwakilan industri.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 746