KSU KPT Teruskan Sesi Santai Bersama Warga Di Program ‘Nasi Lemak Kopi O’
Program Nasi Lemak Kopi O (NLKO) Siri 3 telah berlangsung dengan penuh bermakna apabila warga Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi) di Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berpeluang menghadiri sesi santai bersama Ketua Setiausaha KPT, YBhg. Datuk Dr. Anesee Ibrahim.
Penganjuran kali ini memberi ruang kepada perkongsian ilmu, pengalaman dan pandangan berharga dalam suasana yang mesra, sekali gus memperkukuh hubungan antara pengurusan tertinggi dan warga kementerian.
Dalam sesi ini, warga Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi) diberi perhatian khusus sebagai kelompok yang penting dalam menyokong kelancaran pentadbiran Kementerian.
Melalui kupasan yang disampaikan oleh YBhg. Datuk Dr. Anesee, warga KPT mendapat inspirasi baharu mengenai amalan terbaik pengurusan, keperluan adaptasi terhadap cabaran semasa serta kepentingan menyemai budaya ilmu dalam setiap tugasan.
Perbincangan yang diadakan secara santai namun berinformasi ini berjaya membuka ruang komunikasi dua hala yang lebih inklusif, mengukuhkan semangat kebersamaan serta menambah baik kefahaman bersama terhadap matlamat kementerian.
Inisiatif NLKO yang diteruskan oleh KSU KPT jelas mencerminkan hasrat pengurusan tertinggi Kementerian untuk mendekati warga di pelbagai peringkat jawatan. Penganjuran program seperti ini bukan sahaja mengeratkan ukhuwah melalui perkongsian santai, malah memperkukuh aspirasi KPT dalam melahirkan warga kerja yang seimbang, berdaya saing dan berwawasan tinggi.
Program NLKO akan terus dijadikan wadah berterusan untuk memperkukuh semangat kekitaan dan membudayakan perkongsian ilmu, sekali gus menjadi pemangkin kepada pembentukan budaya kerja yang cemerlang, progresif dan inklusif di KPT.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 478