6,542 Graduan POLYCC Diraikan Dalam Majlis Konvokesyen Zon Timur 2025
Seramai 6,542 orang graduan dari negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan diraikan dalam Majlis Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) Zon Timur 2025 yang berlangsung selama tujuh (7) hari bermula semalam di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu.
Penganjuran sulung ini merangkumi 13 sidang konvokesyen berprestij sebagai pengiktirafan kepada pencapaian akademik, kemahiran dan kepimpinan pelajar TVET.
Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Datuk Dr. Anesee Ibrahim berkata kejayaan menamatkan pengajian bukan penamat, sebaliknya asas untuk melangkah lebih jauh ke dunia sebenar yang penuh cabaran.
Beliau turut menyeru graduan agar membudayakan pembelajaran sepanjang hayat serta berani mencipta peluang baharu.
“Gunakan ilmu dan pengalaman yang ditimba untuk membantu keluarga, masyarakat dan negara. Tiada jalan mudah dalam mengejar kejayaan, sebaliknya jatuh bangun adalah lumrah yang perlu ditempuh,” katanya.
Institusi TVET POLYCC ketika ini beroperasi dengan kekuatan 36 buah Politeknik dan 106 buah Kolej Komuniti, yang menempatkan kira-kira 75,000 orang pelajar Politeknik dan lebih 18,000 orang pelajar Kolej Komuniti di seluruh negara.
Pada tahun 2024, Politeknik melahirkan seramai 8,906 orang graduan manakala Kolej Komuniti hampir 2,000 orang graduan, bukti keupayaan TVET dalam memenuhi permintaan tenaga kerja negara.
Majlis konvokesyen kali ini menyaksikan penganugerahan Anugerah Ketua Pengarah kepada Wan Muhammad Haikal Wan Kamri dari POLISAS dan Nurafiqah Alyaa Muhammed Yazid dari Kolej Komuniti Rompin atas kecemerlangan dalam akademik, inovasi dan kepimpinan.
Selain itu, pelbagai anugerah lain turut disampaikan termasuk Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Kokurikulum Jabatan, Anugerah Khas Keusahawanan, Anugerah Projek Terbaik, Anugerah Pelajar Cemerlang Kolej Komuniti dan Anugerah Pengarah Politeknik.
Turut hadir, Ketua Pengarah Politeknik dan Kolej Komuniti, Dato’ Dr. Haji Mohd Zahari Ismail; Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan), Dr. Shamsuri Abdullah; para Pengarah Bahagian; Pengarah POLYCC Zon Timur; wakil industri serta para pensyarah.
Penganjuran kali ini turut diserikan dengan Mega Fiesta TVET POLYCC 2025 yang menghimpunkan lebih 30,000 orang peserta melalui pelbagai pameran, pertandingan dan aktiviti komuniti bertemakan “TVET Drives Upskilling Future Talents”.
Konvokesyen Zon Timur 2025 membuktikan bahawa graduan TVET bukan sahaja diyakini industri, malah menjadi tonggak dalam agenda pembangunan negara yang menjunjung aspirasi Malaysia MADANI.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 871