IDCT 2023, Cungkil Keusahawanan IPT Promosi Pelancongan Komuniti Borneo Guna Teknologi Digital

IDCT 2023, Cungkil Keusahawanan IPT Promosi Pelancongan Komuniti Borneo Guna Teknologi Digital

Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) disaran untuk menggiatkan aktiviti penyelidikan dan penerokaan teknologi yang lebih memfokuskan komuniti supaya keterlihatan sektor tersebut dapat dirasai impaknya oleh masyarakat.

Di Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), aktiviti-aktiviti tersebut turut diterapkan melalui agenda keusahawanan di IPT yang menggunakan pendekatan strategik bagi menyemai budaya keusahawanan dalam kalangan mahasiswa.

Justeru, program Impact Digital Community Tourism 2023 (IDCT 2023) yang telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud siang tadi, bertujuan untuk memperkukuh keusahawanan tempatan melalui pelancongan komuniti di Sabah dan Sarawak, dengan mengetengahkan penggunaan teknologi digital sebagai kaedah pemasaran.

Dianjurkan secara bersama antara Unit Keusahawanan, Bahagian Perancangan Strategik KPT dengan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), IDCT2023 merupakan program keusahawanan peringkat nasional yang telah dilaksanakan selama setahun bermula pada bulan Jun 2023 melibatkan penyertaan pelajar dari 16 IPT Awam di Sabah dan Sarawak, 16 komuniti terpilih serta rakan-rakan strategik pelancongan di kedua-dua buah negeri tersebut.

Menurut YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud, program IDCT2023 ini mampu menjadi wadah untuk memupuk keusahawanan sosial, mengupayakan komuniti tempatan dan memperkukuh sinergi antara digitalisasi dan pelancongan komuniti yang selari dengan hasrat Kementerian untuk melahirkan graduan holistik, berciri keusahawanan dan seimbang.

Oleh itu, semua IPT diseru untuk konsisten melaksanakan program-program keusahawanan seumpama ini di institusi masing-masing dalam usaha membudayakan keusahawanan dalam kalangan pelajar, di samping di saran untuk sentiasa merancakkan aktiviti dan inisiatif yang menjurus kepada usaha meneroka inovasi dan teknologi baharu dalam bidang tersebut.

Pada majlis tersebut juga, beliau yang ditemani Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian; Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancangan Strategik KPT, Fazidah Mustafa serta Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UNIMAS, Prof. Ir. Ts. Dr Al-Khalid Hj Othman telah menyampaikan hadiah serta sijil kepada kesemua peserta yang menjayakan IDCT 2023 yang julung-julung kali diadakan ini.

Terdahulu, beliau telah membuat lawatan singkat ke kampus UNIMAS bagi meninjau operasi Pusat Kesihatan Prima serta projek Hospital Pengajar UNIMAS yang sedang giat disiapkan.

Ketibaan beliau telah disambut oleh barisan pengurusan dan tenaga pengajar UNIMAS diketuai oleh Naib Canselornya, Prof. Dr. Ahmad Hata Rasit yang turut membentangkan pencapaian dan hala tuju universiti tersebut. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 853
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 11 Oktober 2024, 03:07:22.

logo-sirim