KPT Bersama USM Komited Bangunkan Bakat, Berusaha Menjadikan Malaysia Pengeluar Semikonduktor Terbesar Dunia

KPT Bersama USM Komited Bangunkan Bakat, Berusaha Menjadikan Malaysia Pengeluar Semikonduktor Terbesar Dunia

YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim melalui beberapa ucapannya telah menggagaskan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah hab industri semikonduktor terbesar serta terbaik di pasaran global sebagaimana terkandung dalam Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) yang beliau umumkan pada Mei 2024.

Sehubungan itu, semua pihak diseru untuk memberikan kerjasama bagi menjayakan sasaran tersebut dengan lebih banyak usaha diperlukan bagi memperkasakan bidang Elektrik dan Elektronik (E&E) negara, merangkumi sokongan penuh institusi pendidikan tinggi.

Justeru, selari dengan hasrat untuk melahirkan graduan terlatih dalam bidang E&E, Ketua Setiausaha KPT, YBhg. Dato' Seri Ir. Dr. Zaini Ujang, telah mengadakan lawatan kerja sehari ke Universiti Sains Malaysia (USM) pada pagi tadi untuk meniliti keperluan universiti tersebut dalam meningkatkan jumlah graduan bidang E&E bagi memenuhi permintaan tinggi industri, terutamanya di Koridor Utara.

Menurut taklimat yang telah disampaikan oleh Naib Canselor USM, YBhg. Dato' Seri Prof. Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, USM bercadang untuk menambah 200 orang lagi pelajar kejuruteraan elektroniknya mulai tahun 2025.

Oleh yang demikian, USM memerlukan fasiliti baharu yang lebih luas dan dilengkapi peralatan canggih serta terkini bagi merealisasikan cadangan tersebut.

YBhg. Dato' Seri Ir. Dr. KSU juga telah diberi taklimat berkenaan projek-projek pembangunan serta penggantian peralatan usang universiti tersebut di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

Sejurus itu, beliau telah ke kompleks Institut Farmaseutikal dan Nutraseutikal Malaysia (iPHARM), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta membuat lawatan tapak ke beberapa projek yang sedang disiapkan dalam kampus tersebut.

Secara keseluruhannya, beliau berpuas hati dengan lawatan ke USM siang tadi dan mengulangi komitmen KPT bagi membantu inisiatif universiti tersebut menjadikan Malaysia pengeluar semikonduktor terbesar dunia. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 626
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 11 Oktober 2024, 07:37:56.

logo-sirim