Malaysia Teroka Kerjasama Baharu Bersama Jepun Bagi Pembangunan TVET
Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, YBhg. Dato' Seri Ir. Dr. Zaini Ujang telah mempengerusikan satu mesyuarat yang melibatkan wakil-wakil dari Japanese Chamber of Trade & Industry, Malaysia (JACTIM), dan Japan International Cooperation Agency (JICA) petang semalam.
Dalam mesyuarat tersebut, pihak JACTIM telah membentangkan peranan mereka dalam landskap ekonomi Malaysia serta menyampaikan dapatan daripada tinjauan tahunan melibatkan 600 syarikat Jepun mengenai isu-isu yang dihadapi oleh pihak industri mereka semasa menjalankan perniagaan di Malaysia.
Selain itu, JACTIM juga memberikan penjelasan mengenai penemuan dan pandangan mereka tentang tahap pendidikan serta kemudahan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Malaysia berdasarkan lawatan mereka ke beberapa Politeknik yang terpilih.
Hasil daripada mesyuarat tersebut, beberapa halatuju telah dirumuskan, yang mana Malaysia akan meneroka bentuk kerjasama baharu bersama JICA dari segi pendekatan kurikulum KOSEN dalam bidang kejuruteraan dan teknologi untuk pembangunan TVET di Malaysia dengan melibatkan institusi seperti Politeknik dan Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT).
Malaysia juga berhasrat untuk memperluaskan kerjasama dengan pemain industri Jepun bagi memperkukuh latihan industri kepada pelajar Politeknik tempatan melalui pembangunan kurikulum berasaskan industri dan pembangunan kapasiti.
Selain itu, usaha ini juga akan diambil bagi mengenalpasti punca sebenar isu kekurangan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang telah dibangkitkan oleh wakil JACTIM.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 436