Mahasiswa Diseru Gunakan Teknologi Terkini Untuk Manfaat Pembelajaran
"Ramai pelajar menggunakan media sosial bagi mempertahankan hak masing-masing, tetapi pada masa yang sama terlupa akan tanggungjawab hakiki mereka sebagai seorang pelajar," ujar Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud.
Jelasnya, perkembangan teknologi masa kini yang begitu mudah aksesnya kepada semua, sepatutnya dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh para mahasiswa dalam proses pembelajaran masing-masing.
Beliau telah berpesan hal yang demikian kepada para pelajar Politeknik Tawau sempena lawatan kerjanya ke Institusi-institusi Pendidikan Tinggi (IPT) di Pantai Timur Sabah yang bermula semalam.
Menurutnya lagi, dalam memenuhi tanggungjawab sebagai seorang penuntut ilmu, para pelajar juga perlu sentiasa membina jati diri dan modal insan yang kukuh.
“Mahasiswa-mahasiswi harus bina negara bersama dalam menongkah arus cabaran dan onak duri kerana akhirnya suatu hari nanti mahasiswa-mahasiswi juga akan memimpin negara ini".
Pada lawatan tersebut, YB Timbalan Menteri telah berbesar hati melancarkan sambutan Bulan Kebangsaan 2024 peringkat Politeknik Tawau dengan simbolik penyerahan Jalur Gemilang kepada YDP Majlis Perwakilan Pelajar, Saudara Muhammad Aura Khairulazuan.
Di kesempatan itu juga, beliau turut mengangkat para pelajar politeknik tersebut sebagai 'Duta Keharmonian' dan menyeru mereka untuk mempromosikan konsep kesepakatan dan keamanan masyarakat Negeri Di Bawah Bayu tersebut ke tempat-tempat yang lain.
Seterusnya, YB Datuk Ts. Mustapha yang telah disambut oleh Pengarah Politeknik Kota Kinabalu merangkap Pengerusi POLYCC Zon Sabah, Md. Nor Abdul Halim; serta Pengarah Politeknik Tawau, Mohd. Sahran@Awang Mohidin turut dibawa meninjau ke reruai pameran serta fasiliti-fasiliti di situ.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 463