TEKS UCAPAN
YB. DATO’ SERI MOHAMED KHALED NORDIN
MENTERI PENDIDIKAN TINGGI
MAJLIS PENYAMPAIAN WATIKAH PELANTIKAN CHAPTER DAN KLUSTER MAJLIS PROFESOR NEGARA (MPN)
23 OGOS 2023
Para profesor yang saya hormati,
- Terima kasih saya ucapkan atas undangan ini. Saya sangat berbesar hati bertemu dengan tuan-tuan dan puan-puan, para profesor dan ahli-ahli bijak pandai negara.
- Kalau diukur, barangkali majlis makan malam ini layak dianggap sebagai perhimpunan paling adi dan pintar.
- Kerana, pada malam ini berkumpulnya mereka yang bergelar sarjana dan pakar rujuk negara. Mereka yang telah terbukti bijaksana dalam setiap bidang yang diterokai.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
- Jika kita meneliti dengan mendalam asal usul penggunaan istilah ‘profesor’, kita akan temukan satu perkara penting yang menarik.
- Istilah ‘profiteri’ yang berasal dari bahasa Latin dan pernah diamalkan secara meluas dalam tamadun Rom, sebenarnya tidak hanya merujuk kepada individu yang pintar atau mahir dalam sesuatu ilmu.
- Tetapi, gelaran tersebut hadir dengan ciri kedua. Iaitu, kebijaksanaan atau kepandaian yang diisytiharkan secara terbuka dan terang-terangan kepada orang awam.
- Mengikut tradisi peradaban terdahulu, kepandaian dan kebijaksanaan itu diisytiharkan secara terbuka kepada orang awam dengan tujuan ilmu tersebut dapat dimanfaatkan secara bermakna oleh masyarakat sekeliling.
- Dalam erti kata lain, gelaran profesor tidak dipakaikan kepada kepandaian yang hanya disembunyikan atau disimpan untuk kepuasan sendiri.
- Sebaliknya, istilah ini digunakan dalam konteks yang tidak boleh terpisah sama sekali daripada masyarakat.
- Pada saya, perkara ini memberi pengajaran yang besar dan mendalam.
- Apatah lagi sekarang ini, ramai yang melihat profesor hanya pada kebijaksanaan dan kelebihan intelektual. Dan melupakan terus ciri kedua yang ada pada istilah tersebut, iaitu nilai kebijaksanaan yang diikat pada hubungan dan manfaatnya kepada masyarakat.
- Jadi, gelaran profesor itu sebenarnya bukan sahaja satu pengiktirafan kepintaran. Tetapi peletakan tanggungjawab besar yang melebihi kepentingan diri sendiri.
- Sekali pun pada malam ini kita melihat terdapat banyak kluster yang berbeza-beza di bawah MPN, kita seharusnya bekerja sebagai satu entiti yang saling mengukuhkan.
- Pemikiran dan idea yang dicerna secara in silo dan terpisah-pisah tidak akan memberikan impak maksimum.
- Platform kluster di bawah MPN ini bukan satu litar perlumbaan untuk menunjukkan siapa lebih baik, ilmu siapa lebih besar dan penting atau siapa yang lebih berpengaruh.
- Sebaliknya, pembahagian kluster itu tidak lebih daripada sekadar pengelasan kepakaran yang seharusnya memudahkan kita untuk menggabung jalin pelbagai ilmu dan disiplin dengan lebih berkesan.
- Kerana, cabaran hari ini tidak lagi datang sehala atau dalam bentuk tunggal.
- Krisis keterjaminan makanan dan air adalah juga krisis kuasa dan geopolitik. Perubahan iklim turut bermakna pelarian alam sekitar akan meningkat. Teknologi disruptif adalah ujian kelangsungan pendidikan tinggi.
- Perkembangan saintifik memerlukan kreativiti pemikiran sastera. Malah, dunia sekular adalah pentas membahaskan realiti agama dan budaya.
- Kesemua ini membawa beberapa makna.
- Kita mesti bekerja bersama-sama. Ilmu kita dalam sesuatu bidang tidak lagi menjadi kelebihan andai ia dikupas secara sempit dan tidak merentas disiplin.
- Maka, saya harap MPN akan mengumpulkan segala bakat dan minda terbaik bangsa. Untuk digembleng secara strategik bagi membawa kebaikan kepada bangsa dan negara kita.
- Kepada siapa lagi harus saya sandarkan harapan yang besar ini. Jika bukan pada sebuah organisasi yang menghimpunkan bakat paling pintar dalam negara.
- Jadi, sebelum berakhir, saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada semua yang dilantik pada malam ini.
- Pikulkan tugas dan tanggungjawab ini dengan penuh dedikasi dan kesungguhan untuk menyumbang pada negara.
- Semoga semua itu menjadi asbab yang menjadikan negara kita sejahtera dan diberkati.
- Sekali lagi, terima kasih atas undangan ini.
Muat Turun:
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 11116