UCAPAN PENGGULUNGAN
YB. DATO’ SERI MOHAMED KHALED NORDIN
MENTERI PENDIDIKAN TINGGI
PERSIDANGAN PARLIMEN MAHASISWA KEBANGSAAN 2023
24 OGOS 2023
Tuan Yang di-Pertua,
- Pertama sekali, saya merakamkan ucapan terima kasih khususnya kepada pihak Parlimen Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan semua pihak yang telah bekerjasama menjayakan Persidangan Parlimen Mahasiswa Kebangsaan 2023.
- Setinggi-tinggi tahniah juga kepada 71 Ahli Perwakilan Parlimen Mahasiswa yang telah mengambil bahagian untuk berbahas dalam Persidangan Parlimen Mahasiswa 2023 ini.
- Sudah pasti segala pandangan, saranan dan pengamatan yang dikongsikan akan diberikan perhatian oleh KPT demi penambahbaikan sektor pendidikan tinggi negara.
- Ini adalah salah satu perkembangan yang baik. Kita mahu golongan mahasiswa terlibat secara terus dan aktif dalam bersama-sama memberi saranan serta idea bagi membangunkan pendidikan tinggi yang lebih berkualiti.
- Bagi menjawab dan mengulas segala perkara yang telah dibangkitkan sepanjang perbahasan oleh Ahli-ahli Perwakilan Mahasiswa Kebangsaan, saya akan mengelompok dan mencerakinkan isu-isu utama yang dibahaskan seperti berikut.
- PERTAMA, usul berkaitan CADANGAN MEWUJUDKAN DASAR PENEMPATAN MAHASISWA.
Tuan Yang di-Pertua,
- Saya mengambil maklum cadangan-cadangan yang telah diutarakan oleh kesemua kira-kira 35 perwakilan yang telah mengusul, membahas dan mencelah isu berkaitan usul ini.
- Secara rangkumannya, inti pati perbahasan usul pertama ini boleh dirumuskan seperti berikut:
- Pertama, penubuhan Jawatankuasa pemantau dasar penempatan Ini bagi memastikan wujud kawalan dan pemantauan terhadap kadar sewa, aspek keselamatan serta penentuan lokasi yang sesuai dan strategik seperti yang dibahaskan oleh antara lain, UNIMAS 03, UTM 02 dan IPG 03.
- Kedua, penghapusan sistem merit dalam pemilihan kelayakan penempatan pelajar di dalam kampus dan penelitian terperinci unjuran kapasiti maksimum kolej kediaman sesebuah universiti seperti yang dibangkitkan oleh UTeM 03, UM 03, UMPSA 06.
- Ketiga, keperluan untuk kerajaan memperkenalkan insentif seperti potongan cukai dan diskaun bil utiliti kepada premis yang disewa kepada mahasiswa seperti yang dicadangkan oleh IPG 02.
- Dan keempat, saranan agar kadar pinjaman PTPTN diberikan mengikut keperluan atau kadar sewaan rumah yang berbeza- beza mengikut lokasi seperti yang dibangkitkan oleh UKM 01.
Tuan Yang di-Pertua,
- Saya akui bahawa penempatan mahasiswa adalah isu yang penting.
- Dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sentiasa komited dan peka terhadap keperluan, kebajikan serta kesejahteraan pelajar-pelajar di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT), sama ada yang menginap di dalam mahu pun di luar kampus.
- Oleh kerana itu, Kementerian sebenarnya telah melancarkan inisiatif Rumah Siswa bermula tahun 2021.
- Inisiatif ini merangkumi penubuhan Unit Pengurusan Pelajar Luar Kampus (UPLK) di semua Universiti Awam (UA) dan pembangunan Portal Rumah Sewa Siswa (RSS).
- Portal RSS ini diwujudkan sebagai platform bagi memudahkan pelajar mencari dan mendapatkan kediaman sama ada rumah atau bilik sewa mampu milik berdekatan kampus.
- Senarai premis kediaman di dalam Portal ini dipantau dan dikemaskini oleh pegawai UA sendiri yang bertanggungjawab meneliti, menyaring dan memastikan kediaman pelajar yang dikenal pasti adalah kondusif dan bersesuaian dari segi kadar sewaan, kemudahan dan jaminan keselamatan premis.
- Sehingga 22 Ogos 2023, seramai 35,200 pelajar universiti awam dari seluruh negara telah berdaftar menerusi Portal RSS ini.
- Melihat kepada keperluan dan keberkesanan penggunaan Portal RSS ini, saya bersetuju dengan pandangan agar ia diperkemas, ditambah baik dan dipastikan berupaya untuk memenuhi keperluan mahasiswa seperti yang dinyatakan oleh IPGM 01.
- Malah, penggunaannya harus disebar luas agar dapat dicapai oleh semua termasuklah mahasiswa mahasiswi dari politeknik dan Kolej Komuniti seperti yang disarankan oleh POLI 04 dan KK 01.
- Selain itu, KPT turut bekerjasama dengan Majlis Perumahan Universiti-Universiti Malaysia (MAPUM) dalam memastikan ketersediaan penginapan pelajar di kolej-kolej kediaman di dalam kampus berada pada kapasiti yang optimum. Ini bagi menampung jumlah pelajar yang layak mendiami kolej yang semakin meningkat.
- Walau bagaimanapun, Kementerian tidak akan bersikap apologetik dan defensif dalam isu ini. Saya percaya banyak penambahbaikan masih diperlukan.
- Sebab itulah saya sangat menghargai cadangan-cadangan serta kritikan yang dikemukakan sepanjang perbahasan ini. Dan saya memberi komitmen terhadap 3 perkara berikut.
- Pertama, Kementerian akan terus bekerjasama dengan pihak IPT untuk meneliti isu ini dengan lebih terperinci.
- Ini termasuklah memfokuskan penggunaan peruntukan pembangunan IPT untuk tujuan membina lebih banyak kolej penginapan sama di dalam mahu pun di luar kampus.
- Untuk makluman semua, secara keseluruhannya peruntukan pembangunan dan kebajikan pelajar yang melibatkan pembinaan serta penyelenggaraan asrama atau kolej kediaman bagi tahun 2023 adalah berjumlah RM339,516,500.
- Dari jumlah ini, sebanyak kira-kira RM261 juta adalah bagi tujuan membayar konsesi PPP / PFI pembinaan kolej kediaman yang sudah siap dibina. Misalnya, 8 juta untuk kedua-dua Politeknik Kota Bahru dan Jeli, Kelantan, RM6.7 juta untuk Politeknik Seberang Perai dan RM14.3 juta untuk Politeknik Ungku Omar.
- Manakala RM40 juta pula adalah bagi tujuan membina kolej kediaman baharu. Ini termasuklah di UMK Kampus Bachok dan Politeknik Tun Syed Nasor Pagoh yang secara keseluruhannya melibatkan kos sebanyak RM180 juta.
- Selain itu, sebanyak 3 juta akan digunakan untuk menaiktaraf kolej kediaman sedia ada di pelbagai IPT seluruh negara.
- Misalnya, 1 juta bagi penyelenggaraan kolej kediaman UTM, Johor Bahru, RM7 juta untuk pembinaan Fasa 2 Kolej Kediaman baharu UniSZA Kampus Gong Badak dan RM3 juta secara keseluruhan bagi pembinaan kolej kediaman baharu di UPNM, UTeM, UMS dan UKM.
- Kedua, sekali pun KPT cenderung untuk memberi autonomi kepada pihak IPT dalam menentukan sistem pemilihan pelajar yang layak tinggal di kolej kediaman masing-masing, KPT akan turut melihat kesesuaian cadangan penghapusan sistem merit seperti yang dibangkitkan semasa sesi perbahasan ini.
- Kita percaya, setiap saranan yang dikemukakan tersebut sudah pasti mempunyai nilai tambah tersendiri kepada kebajikan mahasiswa.
- Ketiga, KPT akan terus mencari inisiatif baharu yang boleh membantu mengurangkan isu ketidakcukupan penempatan kepada pelajar.
- Ini termasuklah menjayakan dasar pengajian anjal yang membolehkan pelajar mengikut pengajian jarak jauh tanpa perlu berada di kampus.
- Pada masa yang sama, KPT mengambil maklum dan akan membawa saranan seperti diskaun utiliti, potongan cukai, semakan pinjaman PTPTN kepada pihak yang sewajarnya terutamanya pihak-pihak yang berada di luar bidang kuasa KPT.
Tuan Yang Dipertua,
- KEDUA adalah berkaitan CADANGAN PEMERKASAAN INISIATIF PEMBANGUNAN BAKAT KE ARAH MELAHIRKAN MAHASISWA KALIS MASA HADAPAN yang diusulkan oleh UIAM 07 dan disokong oleh UMS 06.
- Seramai kira-kira 34 perwakilan telah mengambil bahagian bagi membahaskan usul ini.
- Kementerian Pendidikan Tinggi memikul tanggungjawab besar dalam aspek ini. Mandat dan tugas kementerian ini adalah memastikan wujud ekosistem yang berupaya melahirkan bakat terbaik untuk negara.
- Kita mahu memberikan ilmu terbaik, disampaikan oleh pengajar terbaik dengan kandungan serta pendedahan terbaik.
- Perkara ini bukan sahaja satu tugas besar, namun memerlukan strategi dan pendekatan yang betul dan praktikal.
- Untuk menjayakan aspirasi tersebut, pelbagai usaha telah dan sedang kementerian lakukan.
- Antaranya, pertama, memastikan semakan kandungan dan kualiti pengajian secara berkala setiap 3 hingga 5 tahun bagi setiap program yang ditawarkan di IPT.
- Proses semakan ini adalah kritikal. Kita mahu memastikan kurikulum yang ditawarkan di IPT kita adalah relevan, terkini serta selaras dengan tuntutan dan cabaran semasa.
- Dan perkara ini sudah tentunya dilakukan tanpa mengetepikan aspek penerokaan ilmu dan pemikiran kritis seperti yang diucapkan oleh UUM 03.
- Kedua, mempelbagai dan mengeratkan hubungan dengan industri seperti yang dibahaskan oleh UPNM 07, MSU 02, UMT 04 dan UMS 02.
- Dan bagi pihak Kementerian, perkara ini bukan sahaja bermaksud kita mahu membawa lebih banyak industri untuk masuk ke dalam kampus. Sebaliknya, kita menyarankan IPT kita mengambil langkah radikal dan berani dengan memasuki ke dalam persekitaran industri.
- Pendekatan sebegini akan membolehkan mahasiswa belajar dalam persekitaran industri yang sebenar sekali gus tahap kebolehpasaran mereka selepas menamatkan pelajaran.
- Ketiga menganjurkan pengenalan Kurikulum Tersedia Masa Hadapan (Future Ready Curriculum, FRC).
- Pendekatan ini merangkumi tiga (3) elemen utama iaitu, Struktur Kurikulum Lentur dan Organik, Proses Penyampaian PdP (Pengajaran dan Pembelajaran) yang lebih Transformatif dan Pentaksiran secara Holistik.
- Keempat, mempelbagaikan pilihan pengajian rentas disiplin bagi memantapkan pengalaman dan kemahiran mahasiswa.
- Selain memfokuskan kepada bidang yang dipelajari, sektor pendidikan tinggi negara sangat menggalakkan pengambilan kursus atau program sampingan sebagai kredit tambahan.
- Ini termasuklah memberikan pendedahan kepada kemahiran pengurusan kewangan, latihan teknologi digital, kepimpinan, penguasaan bahasa asing selain penekanan ke atas Bahasa Melayu dan Inggeris serta pengucapan awam seperti yang disarankan oleh UM 02, UiTM 06 dan POLI 10.
- Bagi usul kedua ini, KPT sememangnya memberikan komitmen berterusan dalam memperkasa inisiatif pembangunan bakat ke arah melahirkan mahasiswa kalis masa hadapan.
Tuan Yang di-Pertua,
- USUL yang KETIGA adalah berkaitan dengan CADANGAN MEWUJUDKAN PELAN TINDAKAN EKONOMI GIG SISWA.
- Seramai kira-kira 23 pembahas telah mengambil bahagian dalam membahaskan usul ini.
- Cadangan-cadangan yang diutarakan, antara lain, merangkumi:
- Memperkenal satu platform dan pelan ekonomi GIG baharu yang lebih komprehensif dan strategik kepada mahasiswa seperti yang dicadangkan oleh UPM 01, POLI 17, UKM 06, UNIKL 01 dan UNITEN 01.
- Memberi peluang kepada mahasiswa untuk bekerja secara separuh masa dari kolej atau universiti secara lebih fleksibel dengan memperkasa inisiatif sedia ada seperti job on campus seperti yang disebut oleh UTP 01;
- Menjadikan Gap Year sebagai alternatif untuk membolehkan pelajar terlibat dalam ekonomi gig secara lebih serius seperti yang disebut oleh UIAM 05.
Tuan Yang di-Pertua dan para perwakilan sekalian,
- Dalam hal ini, saya ingin menegaskan beberapa perkara.
- Pertama, KPT tidak mempunyai halangan untuk mahasiswa terlibat dan menceburi peluang ekonomi gig.
- Kita percaya mahasiswa perlu dibiarkan bebas untuk meneroka apa- apa sahaja peluang yang baik dan boleh membantu mereka menambah pendapatan.
- Kedua, bukan itu sahaja, kementerian sebenarnya turut menyokong dan menggalakkan penglibatan mahasiswa dalam bidang keusahawanan sebenar atau apa-apa bidang yang sesuai merentasi ekonomi gig seperti yang dihujahkan oleh UMPSA 07.
- Kita yakin pendedahan kepada dunia keusahawanan atau apa-apa bidang yang diminati oleh mahasiswa akan mampu membantu membina kematangan mahasiswa, memberi peluang menambah pendapatan dan berupaya merancakkan ekonomi kita.
- Antara inisiatif yang telah diusahakan adalah Program PENJANA KPT- CAP trek Ekonomi Gig yang telah dimanfaatkan oleh beberapa universiti awam.
- Misalnya, GLOW Aspirasi oleh Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dengan kerjasama MDEC yang memfokuskan kepada program latihan pemasaran perkhidmatan di atas platform freelancing yang stabil.
- Selain itu, Universiti Kebangsaan Malaysia dengan kerjasama MDEC telah menyediakan program latihan digital freelance bagi membantu peserta melengkapkan diri dengan kemahiran digital terkini serta meningkatkan kemahiran bakat bagi mendapatkan manfaat dari ekonomi digital.
- Bagi inisiatif melibatkan pembangunan usahawan siswa secara khususnya, KPT mempunyai Pelan Tindakan Keusahawanan IPT 2021–2025 sebagai dokumen rujukan utama.
- Di bawah Pelan Tindakan ini, 3 teras utamanya adalah berkisar kepada agenda memperkasa keusahawanan di IPT.
- Ini termasuklah memperkukuh ekosistem keusahawanan, meningkatkan kolaborasi yang berimpak tinggi dan memperkasa inovasi serta teknologi dalam keusahawanan.
- Walau bagaimanapun, pihak kementerian akan terus memperhalusi cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh para Perwakilan Mahasiswa semua berhubung pelan ekonomi gig ini mengikut kesesuaian.
- Terutamanya perkara-perkara yang memerlukan kerjasama dan komitmen dari Kementerian dan agensi-agensi selain KPT.
- Kita mahu memastikan sebarang dasar atau pelan yang dikemukakan memihak dan memanfaatkan mahasiswa dan tidak mengganggu proses pembelajaran mereka di IPT.
Tuan Yang Dipertua,
- Bagi USUL KEEMPAT dan terakhir, ia berkisar CADANGAN MENJADIKAN MALAYSIA SEBAGAI HAB PENDIDIKAN TINGGI ANTARABANGSA.
- Usul ini secara keseluruhannya telah dibahaskan oleh 16 perwakilan.
- Perbahasan tersebut boleh diringkaskan seperti berikut:
- Pertama, keperluan menilai kemenjadian dan kualiti yang ditawarkan kepada pelajar tempatan dan antarabangsa;
- Kedua, pewujudan Jawatankuasa Khas untuk menyemak dan mengkaji dasar pendidikan tinggi nasional;
- Ketiga, penelitian isu peluang pekerjaan dan minat menyambung pengajian khususnya dalam kalangan pelajar tempatan;
- Keempat, promosi pengambilan pelajar yang lebih komprehensif oleh universiti awam dan swasta;
- Kelima, menambahbaik kursus-kursus jangka pendek, persijilan dan pendidikan teknikal serta fasiliti dan kemudahan sedia ada di universiti; dan
- Keenam, penyelarasan sistem wakaf dan endowmen bagi menyokong hasrat menjadikan Malaysia hab pendidikan antarabangsa termasuk cadangan membina sebuah universiti antarabangsa yang baharu.
- Terlebih dahulu saya ingin mengulas mengenai saranan agar diwujudkan satu jawatankuasa khas untuk menyemak dasar-dasar pendidikan tinggi negara.
- Dalam hal ini, suka saya maklumkan bahawa Jawatankuasa tersebut yang dikenali sebagai National Review Committee (NRC) dengan izin tuan yang dipertua, telah ditubuhkan.
- Malah NRC telah pun menyiapkan laporan akhir mereka dan telah dibentangkan kepada pihak Kementerian pada bulan Julai yang lalu.
- Secara umum, NRC telah menyemak sejumlah 45 dokumen dasar dan mengumpulkan sejumlah 874 isu hasil Tinjauan Soal Selidik Institusi yang terdiri daripada 134 institusi merangkumi agensi, universiti awam, politeknik, kolej komuniti dan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS).
- Daripada proses tersebut, NRC telah mengenal pasti sebanyak 59 cadangan penambahbaikan yang terdiri daripada 29 cadangan bersifat transformatif, 12 cadangan quick wins dan 18 inisiatif pembolehdaya atau enablers.
- Selain itu, NRC mengemukakan cadangan 7 akta yang perlu dipinda, 11 dasar yang perlu ditambah baik dan 4 dasar baharu yang perlu diwujudkan.
- Perkara ini sedang dalam proses penelitian dan tindakan oleh pihak KPT.
- Seterusnya saya ingin menyentuh mengenai cadangan menjadikan Malaysia sebagai Hab Pendidikan Tinggi antarabangsa.
- Dalam hal ini KPT sentiasa proaktif mempromosi dan menjenamakan pendidikan Malaysia terutama dalam meningkatkan kemasukan pelajar antarabangsa ke Malaysia.
- Khususnya melalui Education Malaysia Global Services (EMGS), yang merupakan entiti di bawah KPT yang bertanggungjawab dalam perkara- perkara berkaitan kemasukan pelajar antarabangsa.
- KPT sedar bahawa kemasukan pelajar antarabangsa boleh menjadi salah satu bukti dan pengiktirafan terhadap kualiti dan kredibiliti sektor Pendidikan tinggi negara kita.
- Walau bagaimanapun, semasa Perutusan Tahun Baharu 2023 yang lalu, saya telah menegaskan bahawa pengambilan pelajar antarabangsa hendaklah mensasarkan pengambilan pelajar terbaik, bukan sahaja pelajar terbanyak.
- Daripada segi strategi untuk memposisikan Malaysia sebagai destinasi pilihan pengajian tinggi, antara strategi KPT dalam pemerkasaan Program Pengantarabangsaan adalah menerusi inisiatif ‘Study in Malaysia’;
- Pada masa yang sama, KPT melalui EMGS kini sedang bekerjasama rapat bersama Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Imigresen Malaysia untuk memudahkan proses permohonan dan kelulusan visa pelajar antarabangsa. Usaha ini bagi memastikan proses permohonan dan kelulusan visa pelajar dapat diuruskan dengan lebih lancar dan sistematik.
- Walau bagaimanapun, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk turut menegaskan bahawa fokus KPT bukan sahaja untuk menarik seramai mungkin bakat-bakat dari luar untuk datang belajar dan dilatih di sini.
- Malah, kita juga akan mahu membangunkan keseluruhan ekosistem kita agar berupaya melatih bakat-bakat tempatan dengan cara yang terbaik agar mereka berupaya bersaing di peringkat global.
- Sekiranya bakat-bakat tempatan diterima dan diburu untuk diambil bekerja di luar negara, ia sebetulnya satu pengiktirafan tidak langsung kepada kecemerlangan sektor pendidikan tinggi Malaysia.
Tuan Yang di-Pertua,
- Sebelum berakhir, saya sekali lagi ingin merakamkan di dalam Dewan yang Mulia ini, ucapan tahniah dan syabas kepada semua ahli perwakilan yang mengambil bahagian dan telah mengemukakan pelbagai cadangan bernas terhadap isu-isu yang dibahaskan.
- KPT sentiasa berlapang dada untuk mendengar saranan, kritikan dan pandangan yang dikemukakan oleh semua mahasiswa.
- Kita akan cuba sedaya upaya untuk meneliti kesesuaian saranan yang dikemukakan dan menambah baik segala dasar dan inisiatif yang ada demi bersama-sama meningkatkan kualiti dan kecemerlangan sektor pendidikan tinggi negara.
- Akhir kata, terima kasih dan selamat maju jaya saya ucapkan kepada semua ahli perwakilan.
Sekian, terima kasih.
Muat Turun:
pdf Teks Penggulungan Perbahasan Usul Persidangan Parlimen Mahasiswa Kebangsaan 2023.pdf (316 KB)
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 16065