YB Timbalan Menteri Bersiaran Di Program Borak STEM Pandai, Kupas Topik STEM Sektor Pendidikan Tinggi
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud telah bersiaran di siri podcast Borak STEM di saluran Pandai pagi tadi bagi membincangkan topik STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) sektor pendidikan tinggi negara.
Beliau telah mengupas antaranya berkenaan usaha memartabatkan bidang STEM sebagai satu daripada elemen kritikal yang memacu kepada aspirasi negara berteknologi tinggi menjelang tahun 2030.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) turut fokus mempelbagaikan pendekatan yang boleh diterap untuk melahirkan bakat yang berkompetensi bagi merealisasikan wawasan tersebut dalam memenuhi tuntutan industri serta pertumbuhan ekonomi.
Selain itu, beliau turut menjelaskan usaha proaktif KPT untuk menggerakkan kerjasama strategik rentas kementerian dan agensi, antaranya seperti penubuhan Jawatankuasa Khas STEM bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi mengupayakan langkah-langkah meningkatkan jumlah pelajar, kualiti pendidikan STEM serta penawaran dan permintaan sektor tersebut.
Bercerita mengenai graduan STEM tempatan, YB Timbalan Menteri menjelaskan bahawa usaha meningkatkan kualiti mereka itu dilaksanakan secara dua (2) peringkat iaitu melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 oleh KPT sendiri; serta penekanan terhadap tiga (3) aspek utama iaitu Akses, Kurikulum dan Sokongan Kewangan di Institusi-institusi Pendidikan Tinggi (IPT).
KPT turut telah menandatangani pelbagai perjanjian persefahaman dengan pihak industri melalui Government-Industry Coordination Body (GITC) yang berperanan sebagai badan pengantara pemudahcara.
Malah, KPT turut menjelaskan bahawa pendidikan TVET dan STEM perlu ditambah nilainya melalui pensijilan profesional yang boleh diperolehi dengan menghadiri program reskilling, upskilling atau kelayakan profesional yang diiktiraf industri.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 1195