Pembinaan Tambahan Bangunan Akademik Dan Fasiliti Luar KKTBS Inisiatif Lengkapkan Fasiliti Kampus
Kolej Komuniti Tambunan Sabah (KKTBS) yang merupakan satu-satunya Kolej Komuniti di Malaysia yang menawarkan kursus Sijil Teknologi Penyelenggaraan Kenderaan Pacuan 4 roda kini dalam pembinaan bangunan tambahan akademik dan fasiliti luarnya. Pembinaan ini dijangka bakal menarik minat lebih ramai pelajar ke kolej ini.
Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Dato' Seri Ir. Dr. Zaini Ujang yang meneruskan sesi lawatan projek ke sini meninjau tapak projek tersebut pagi tadi.
Memasuki tambahan fasa ke-2 bagi skop pelaksanaan projek merangkumi pembinaan bangunan akademik; kemudahan sukan; kafeteria; perolehan akademik; dan sokongan akademik, pembinaanya telah bermula awal tahun 2021 namun terbengkalai dan memerlukan perhatian khusus.
KSU dalam ucapannya memohon agar pembinaan tersebut dapat dibuat dengan kadar segera dan melantik kontraktor yang berwibawa bagi mempercepatkan lagi pelaksanaan projek tesebut.
Terdahulu, YBhg. KSU KPT telah dibawa melawat sekitar tapak bagi melihat sendiri pembangunan yang telah terbengkalai kerana penamatan ke atas kontraktor terdahulu dan sedang dalam tindakan untuk pelantikan semula kontraktor penyelamat.
Dalam pada itu, beliau turut menyantuni pelajar-pelajar yang mengadakan sesi amali di lapangan dan penduduk setempat yang sedang mengikuti kursus pendek di bawah unit Pembelajaran Sepanjang Hayat.
Kursus Penananam Tanaman Jagung Bijirin di bawah kendalian KKTBS dengan kerjasama Koperasi Wawasan Rakyat ini merupakan khidmat komuniti KKTBS dan telah menarik minat peserta komuniti tertua berumur 75 tahun.
Turut hadir dalam sesi lawatan adalah Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Mohamad Azhan Md. Amir; Setiausaha Bahagian, Bahagian Pembangunan KPT, Azlinda Azman dan Pengarah Politeknik Kota Kinabalu, Md Nor Abdul Halim.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 1065