YB Menteri Pendidikan Tinggi Raikan Para Pembentang WCIT 2024
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir bersama Naib Canselor Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Datuk Prof. Dr. Wan Sabri Wan Yusof turun meraikan para pembentang Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia 2024 (World Conference on Islamic Thought and Civilization 2024 - WCIT 2024) dalam sebuah majlis di sini malam semalam.
WCIT 2024 yang dianjurkan secara bersama oleh Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) dan Kerajaan Negeri Perak itu akan menjadi platform diskusi bagi tujuh sub tema persidangan merentas pelbagai bidang yang akan dibentang dan dibincangkan oleh panel-panel terkemuka dari dalam dan luar negara.
Persidangan tiga (3) hari bertaraf antarabangsa bermula hari ini tersebut dihadiri oleh lebih 1,000 orang yang terdiri daripada para ulama, pemimpin, intelektual, profesional, dan masyarakat dalam dan luar negara.
DYMM Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah turut berkenan untuk berangkat bagi merasmikan serta menyampaikan titah diraja dengan Perdana Menteri, YAB Dato' Seri Anwar turut akan menyampaikan ucapan alu-aluannya.
Penganjuran kali ke-7 WCIT bertemakan ‘Together We Stand: Muslims and Global Humanity’ tersebut merupakan buah fikiran YB Menteri sendiri ketika beliau menjawat jawatan Menteri Besar Perak pada ketika itu.
Selain itu, beliau turut akan berdialog bersama barisan panel ilmuwan terkemuka dunia pada petang nanti bagi mengupas topik berkaitan pendidikan dan penyelidikan dari perspektif dunia Islam.
Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. Azlinda Azman; dan Pengarah Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Prof. Dr. Harshita Aini Haroon.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 1013