Umat Islam Perlu Bersatu Tangani Konflik Global

Umat Islam Perlu Bersatu Tangani Konflik Global

DYMM Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah berkenan bercemar duli menyampaikan titah diraja seraya menyempurnakan Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia 2024 (World Conference on Islamic Thought and Civilization 2024 - WCIT 2024) di sini pagi tadi.

Keberangkatan baginda telah disambut oleh Perdana Menteri, YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir dan Menteri Besar Perak, YAB Dato' Seri Saarani Mohamad.

Baginda bertitah, "tidak sepatutnya saudara kita (umat Islam) di seluruh dunia hidup tanpa sumber untuk meneruskan kehidupan seharian mereka.

Sebagai Muslim, kita diseru untuk membantu satu sama lain agar boleh berdiri bersama-sama, dan juga berdiri bersama-sama orang lain termasuklah bukan Islam".

Malah, baginda turut bertitah bahawa semua pihak tidak seharusnya meninggalkan walau satu pun daripada mereka yang hidup dalam kemiskinan di peringkat global, seperti mana yang diajar di dalam al-Quran iaitu jika sesiapa menyelamatkan satu nyawa, ia seolah-olah seluruh manusia telah diselamatkan.

Jadi, baginda berpendapat bahawa sudah ada keperluan mendesak untuk umat Islam bersatu padu pada ketika konflik dan jurang ekonomi global yang terjadi kala ini semakin meningkat, lebih-lebih lagi dengan konflik yang terjadi di Sudan, Palestin dan juga Ukraine.

WCIT 2024 yang dianjurkan secara bersama oleh Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) dan Kerajaan Negeri Perak itu akan menjadi platform bagi tujuh sub tema persidangan merentas pelbagai bidang yang akan dibentang dan dibincangkan oleh panel-panel terkemuka dari dalam dan luar negara.

Persidangan tiga (3) hari bertaraf antarabangsa bermula hari ini tersebut dihadiri oleh lebih 1,000 orang yang terdiri daripada para ulama, pemimpin, intelektual, dan profesional.

Harapan baginda, para ahli panel WCIT 2024 dapat berkongsi cara masyarakat Islam boleh membantu sebahagian daripada ahli masyarakat antarabangsa yang paling lemah – khususnya, mereka yang hidup dalam kemiskinan dan kesusahan, serta kanak-kanak dari semua latar belakang.

Bersesuaian dengan tema WCIT kali ke-7 ini iaitu 'berdiri bersama', baginda bertitah, sewajarnya umat Islam sebagai sebahagian komuniti manusia global merasai 'kesakitan' sedang yang dirasai, sekali gus memahami kemanusiaan yang benar-benar global". 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 1016
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 11 Oktober 2024, 07:37:56.

logo-sirim