YB Menteri Bincang Pelbagai Perkara Dalam Sesi Dialog Bersama Wakil Kesatuan Akademik Universiti Awam
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir telah meluangkan masa untuk menyertai sesi dialog bersama wakil-wakil kesatuan akademik universiti-universiti awam di sini petang tadi.
Dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), sesi libat urus tersebut telah menjadi platform kepada para perwakilan untuk bertukar pandangan dan isu seputar hal ehwal kebajikan para kakitangan serta tenaga pengajar di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Awam di Malaysia.
Antara yang menjadi perbincangan adalah melibatkan waktu mengajar; sistem kehadiran fleksibel; peluang kenaikan pangkat secara setara; keterlibatan para pensyarah muda; kecemerlangan kepimpinan UA; serta perihal lain yang memerlukan perhatian juga pertimbangan daripada pengurusan tertinggi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Turut menjadi topik perbincangan adalah mengenai beban kerja dalam dunia akademia selaras dengan konsep 'work, life, balance' bagi memastikan ekosistem pendidikan tinggi negara kekal sihat dan mampan.
Menurut YB Menteri, pertemuan beliau dengan kesemua wakil yang hadir telah memberikan perspektif baharu dalam memahami rutin serta tanggungjawab yang dihadapi oleh kakitangan dan tenaga pengajar di UA.
Selanjutnya, pengurusan KPT dan JPT akan menimbang semua cadangan serta isu yang telah dilontarkan bagi mencari langkah-langkah penambahbaikan demi kemaslahatan sektor pendidikan tinggi negara.
Hadir sama Ketua Setiausaha KPT, YBhg. Dato' Seri Ir. Dr. Zaini Ujang; serta Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. Azlinda Azman.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 1282