KPT Dan MDEC Meterai MoU Corak Masa Depan Digital Negara
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) iaitu agensi di bawah Kementerian Digital (KD) telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuhkan lagi kerjasama sedia ada dalam melonjakkan pembangunan bakat digital negara di sini petang tadi.
Menurut Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir yang diwakili oleh Ketua Setiausaha KPT, Dato' Seri Ir. Dr. Zaini Ujang, kerjasama antara KPT dan MDEC selama ini telah terbukti menyumbang kepada peningkatan potensi kebolehpasaran graduan dalam bidang teknologi digital serta keusahawanan.
MoU tadi juga bertujuan untuk mengiktiraf dan menaiktaraf IPT yang cemerlang dalam pelaksanaan dan penggunaan Teknologi Digital serta melahirkan graduan berkualiti tinggi bertepatan dengan kehendak industri melalui penganugerahan status Institusi Premier Teknologi Digital (IPTD).
Diperkenalkan sejak tahun 2017, sebanyak 7 IPT Awam, 10 IPT Swasta dan 7 Politeknik telah menerimanya dengan hari ini 3 buah lagi IPT iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Teknologi MARA serta Universiti Monash telah turut diumumkan.
Selain itu, MoU tersebut turut merintis peluang perkongsian pengetahuan data, kepakaran, peralatan dan fasiliti berkaitan pembangunan akademik dan kebolehpasaran graduan serta merupakan peluang bagi kedua-dua pihak meneroka peluang teknologi baharu seterusnya menjana pendapatan melalui platform digital.
Ia merangkumi pelbagai inisiatif kolaboratif yang dirancang untuk memberikan manfaat besar kepada pelajar, pensyarah, dan keseluruhan ekosistem pendidikan tinggi di Malaysia.
Antara inisiatif utama yang akan dilaksanakan termasuk Program Latihan dan Kursus; Latihan ‘Reskilling dan Upskilling’; Program Pendidikan dan Pengiktirafan Profesional; Perkongsian Pengetahuan dan Kepakaran; Penerokaan Peluang Teknologi Baharu; Inisiatif GIG ‘Digital Freelance’ dan ‘Global Outsourcing Talent’; dan Program e-Usahawan.
Menerusi kerjasama ini juga KPT dan MDEC telah melancarkan ‘Premier Digital Tech Institution (PDTI) Tech Club’ yang menumpukan kepada peningkatan kemahiran para pelajar.
Bagi tahun 2024, ‘PDTI Tech Club’ menyasarkan seramai 5,000 pelajar yang akan menerima manfaat dari segi pengalaman praktikal, kemahiran teknologi terkini dan pembelajaran daripada pakar industri seperti ‘Amazon Web Services (AWS)’ dan ‘International Business Machines Corporation (IBM) SkillBuild’.
Selain itu, kolaborasi KPT dengan MDEC, sebagai agensi utama yang mencorakkan transformasi digital negara selama ini telah menyumbang kepada pembukaan Fakulti Kecerdasan Buatan (AI) Universiti Teknologi Malaysia; serta turut dilantik sebagai Penasihat Industri kepada sektor Politeknik dan Kolej Komuniti.
Pada masa yang sama, MDEC turut terlibat dalam usaha untuk membantu KPT melahirkan pakar-pakar teknologi digital yang selari dengan inisiatif strategik negara Malaysia Digital (MD) iaitu untuk menjadikan Malaysia sebagai hab digital ASEAN.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 2017