Atlet IPT Bakal Berentap Dalam Temasya AUG 2024

Atlet IPT Bakal Berentap Dalam Temasya AUG 2024

Temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2024 telah membuka tirainya secara rasmi malam semalam di Pusat Sukan Universitas Negeri Surabaya (UNESA) dengan turut menampilkan atlet-atlet institusi pendidikan tinggi (IPT) berprofil tinggi yang mewakili negara dalam temasya ini.

Majlis perasmian temasya ini telah disempurnakan oleh Menteri Pemuda dan Olahraga Indonesia, Ario Bimo Nandito Ariotedjo. Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud.

Penganjuran sukan universiti rantau Asia Tenggara edisi kali ke-21 ini melibatkan 11 negara serta menawarkan 258 pingat menerusi 20 jenis sukan yang dipertandingkan.

Pada temasya kali ini juga kontinjen Malaysia akan mempertaruhkan seramai 262 atlet dan akan bertanding dalam 18 daripada 20 acara yang dipertandingkan, bagi mencapai sasaran 35 pingat emas yang dihasratkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Sebelum itu, semasa sesi beramah mesra bersama kontinjen negara yang akan beraksi di AUG 2024 semalam, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Ts. Datuk Mustapha Sakmud turut memaklumkan bahawa Malaysia melalui KPT bersedia untuk jadi tuan rumah bagi penganjuran temasya AUG 2026 kelak.

Malaysia sebelum ini sudah tiga kali menganjurkan AUG iaitu pada 1984, 1993 dan 2008.

YB Timbalan Menteri turut memaklumkan KPT akan terus komited untuk menjadi platform dalam menghasilkan lebih ramai atlet dalam kalangan pelajar universiti sekali gus mampu menjadi pelapis untuk sukan negara pada masa akan datang.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 1334
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 11 Oktober 2024, 07:37:56.

logo-sirim