NC UPSI Terima Surat Lantikan Semula; UKM Dan UTM Terima Timbalan NC Baharu
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir telah menyampaikan surat pelantikan semula kepada Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan surat pelantikan baharu kepada dua (2) orang Timbalan Naib Canselor Universiti Awam di pejabatnya pada petang tadi.
Dato’ Prof. Dr. Md Amin Md Taff dilantik semula sebagai Naib Canselor UPSI bagi tempoh dua (2) tahun berkuat kuasa mulai 1 Julai 2024 hingga 30 Jun 2026, setelah pertama kali dilantik ke jawatan yang sama pada 24 Jun 2021 bagi tempoh tiga (3) tahun.
Pelantikan ini adalah bagi membolehkan beliau meneruskan perancangan dalam memperkasa UPSI sebagai universiti awam tunggal yang bertujahkan bidang pendidikan dan seterusnya melahirkan graduan guru yang berkualiti untuk keperluan sektor pendidikan negara.
Pada sesi yang sama, Prof. Dr. Abdul Halim Abdul Gafor telah turut menerima surat pelantikan sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang baharu.
Berlatar belakangkan bidang perubatan dan pembedahan yang mengkhusus kepada bidang nefrologi, beliau sebelum ini pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Perubatan) di Hospital Canselor Tuanku Muhriz bermula tahun 2018 hingga 2022; dan seterusnya sebagai Dekan Fakulti Perubatan UKM bermula tahun 2022 hingga 2024.
Selain itu, Prof. Ts. Dr. Ali Selamat turut menerima surat pelantikan sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang baharu berkuatkuasa 1 Julai 2024 hingga 30 Jun 2026.
Berkelulusan dalam bidang teknologi maklumat, beliau dilihat berupaya untuk membangunkan modal insan pelajar yang holistik melalui jaringan yang dibina sepanjang menjawat jawatan sebagai Dekan Malaysia-Japan Institute of Technology (MJIIT), UTM dari tahun 2018 hingga kini.
Kementerian percaya, pelantikan semula Naib Canselor UPSI dan pelantikan kedua-dua Timbalan Naib Canselor ini berupaya meningkatkan pembudayaan ilmu dan memangkin kecemerlangan institusi pendidikan tinggi negara pada masa hadapan.
Hadir sama Ketua Setiausaha (KPT), YBhg. Dato' Seri Dr. Ir. Zaini Ujang; serta Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, YBrs. Prof. Dr. Azlinda Azman.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 1778