YAB Perdana Menteri Seru Profesor, Mahasiswa Perlu Jadi Contoh Terbaik Kepada Masyarakat

25 Ogos 2026 | Serdang, Selangor
Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyeru warga Institusi Pendidikan Tinggi (IPT), khususnya profesor, mahasiswa dan pentadbir supaya menghayati nilai Islam serta menterjemahkannya melalui teladan dan amalan dalam kehidupan seharian.
Beliau berkata golongan berkenaan mempunyai peranan penting untuk membawa perubahan dan menyampaikan mesej yang jelas melalui pelaksanaan tanggungjawab masing-masing dengan baik.
“Kalau profesor, dengan baik. Mahasiswa begitu juga. Pentadbir, Menteri, malah Perdana Menteri juga, mesti ada kesediaan untuk membawa perubahan dan mesej yang jelas,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan Tahun 1448H/2026M di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini hari ini.
YAB Perdana Menteri berkata penghayatan terhadap Islam perlu diterjemahkan melalui pembentukan masyarakat yang berteraskan nilai, akhlak dan prinsip, selain mendorong umat ke arah kecemerlangan dalam setiap bidang yang diceburi.
Menurut beliau, konsep itqan fil-‘amal yang membawa maksud kesungguhan dan kecemerlangan dalam pekerjaan perlu menjadi antara asas pembentukan generasi yang mempunyai keistimewaan dari segi nilai dan akhlak.
Katanya, masyarakat yang ingin dibentuk perlu menyenangi kebaikan, menghormati orang lain dan menjunjung keadilan, selain menolak rasuah, penyelewengan, keangkuhan, penindasan serta faham perkauman yang sempit.
Dalam pada itu, YAB Perdana Menteri mengingatkan bahawa penghayatan Maulidur Rasul tidak seharusnya terhenti pada sambutan, perarakan atau acara semata-mata, sebaliknya perlu menghasilkan kesedaran dan perubahan yang dapat diterjemahkan dalam kehidupan.
Beliau berkata pendekatan Islam juga perlu disampaikan melalui contoh terbaik yang mampu menarik masyarakat, bukannya melalui pendekatan yang menyebabkan orang berasa takut atau menjauh daripada Islam.
“Cabaran Islam itu bukan hanya untuk mempamerkan, bukan untuk mengherdik, tetapi untuk menarik minat melalui contoh terbaik,” katanya.
Majlis anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama UPM itu turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr. Zulkifli Hasan; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; selain kenamaan lain.
Manakala Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) diwakili Ketua Setiausaha, Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin Hassim dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan), Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan; dan Naib Canselor UPM, Dato' Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah.
YAB Dato' Seri Anwar berkata sambutan Maulidur Rasul hanya benar-benar bermakna sekiranya mampu menyuntik semangat, kesedaran dan pencerahan supaya umat Islam menjadi insan yang lebih baik serta mampu menjadi contoh kepada umat manusia keseluruhannya.
- Last updated on .
- Hits: 17
