KPT Sokong UTHM Perkukuh Jaringan Alumni Sempena Bulan Kebangsaan

Semangat Bulan Kebangsaan terus disemarakkan warga pendidikan tinggi menerusi Misi UTHM RE:CONNECT 2026: Jelajah Alumni Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (Merdeka Ride – MTUN Alumni Circuit) yang bukan sahaja membawa mesej patriotisme dan kebersamaan, malah memperkukuh jaringan alumni serta hubungan strategik antara Institusi Pendidikan Tinggi (IPT).
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, turut meluangkan masa menyapa dan beramah mesra dengan para peserta sebelum Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, YBhg. Datuk Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim, menyempurnakan sesi pelepasan konvoi berkenaan di Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di sini hari ini.
Sesi pelepasan itu menjadi simbolik sokongan KPT terhadap usaha Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) memanfaatkan semangat Bulan Kebangsaan sebagai wadah mempererat hubungan universiti dengan alumni, memperluas jaringan antara IPT serta menyemarakkan nilai patriotisme dalam kalangan warga pendidikan tinggi.
Misi bertemakan “Menjejak Alumni, Menghubungkan Legasi” itu menghimpunkan 33 penunggang motosikal alumni sebagai simbolik kepada 33 tahun perjalanan dan legasi UTHM, dengan jelajah selama empat hari tiga malam dari 24 hingga 27 Ogos 2026 merentasi beberapa lokasi di Semenanjung Malaysia.
Lebih daripada sekadar konvoi bermotosikal, inisiatif berkenaan menjadi platform UTHM mendekati dan menghubungkan semula alumni di samping memperkukuh jaringan dengan universiti lain, khususnya dalam Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN).
Menerusi sesi Temu Mesra Alumni (Alumni Meet & Greet) yang dilaksanakan sepanjang jelajah, UTHM turut berusaha mengenal pasti alumni berpotensi untuk digerakkan sebagai pembimbing, pakar rujuk, panel industri dan rakan strategik dalam menyokong pembangunan kerjaya mahasiswa serta memperluas kerjasama universiti dengan industri.
Pendekatan tersebut selari dengan aspirasi KPT untuk memperkukuh peranan alumni sebagai sebahagian daripada ekosistem pendidikan tinggi, dengan kepakaran, pengalaman dan jaringan mereka terus dimanfaatkan bagi menyokong pembangunan universiti, mahasiswa dan masyarakat.
Pada masa sama, penglibatan alumni dalam misi berkenaan mencerminkan bahawa semangat kebangsaan tidak hanya dizahirkan melalui sambutan dan simbolik, sebaliknya turut diterjemahkan menerusi kesukarelawanan, jaringan komuniti serta kesediaan warga pendidikan tinggi menyumbang kembali kepada institusi dan negara.
Selepas sesi pelepasan di KPT, konvoi berkenaan meneruskan perjalanan ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sebelum menjelajah beberapa IPT lain, sekali gus membawa mesej Bulan Kebangsaan mengenai perpaduan, kebersamaan dan semangat menyumbang yang terus menghubungkan warga pendidikan tinggi di seluruh negara.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Governan dan Pembangunan), Jabatan Pendidikan Tinggi, Ts. Dr. Noraisah Spahat; Naib Canselor UTHM, Prof. Ts. Dr. Mas Fawzi Mohd Ali; serta barisan pengurusan UTHM.
- Last updated on .
- Hits: 13
