Warga KPT Dan Mahasiswa Bersatu Suara Tuntut Pembebasan Bumi Palestin

Warga KPT Dan Mahasiswa Bersatu Suara Tuntut Pembebasan Bumi Palestin

Hidup Palestin! Palestin Merdeka!

Segenap warga Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) termasuklah para mahasiswa Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) telah melaungkan ikrar menuntut kedaulatan bumi Palestin dengan sebebas-bebasnya daripada cengkaman kezaliman penjarah rejim Zionis.

Diketuai Perdana Menteri, YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim, majlis Himpunan Pembebasan Palestin malam tadi telah mengumpulkan ribuan rakyat serta barisan jemaah menteri, pemimpin politik dan NGO, juga duta-duta asing mengutuk sekeras-kerasnya keganasan tanpa henti rejim tersebut sejak tragedi 7 Oktober tahun lalu.

Gempita suara "lautan putih" perhimpunan tersebut turut menggesa pertubuhan antarabangsa serta para pemimpin negara luar untuk menggugah peranan mereka bagi turut sama memastikan keadilan serta hak rakyat Palestin dapat dikembalikan.

Kesatuan yang ditunjukkan para peserta di Axiata Arena senada dengan rakyat Malaysia yang lain iaitu untuk menuntut kepada negara Palestin merdeka yang berdaulat tanpa intimidasi luar dapat segera direalisasikan.

Pada himpunan semalam, selain ucapan daripada YAB Perdana Menteri, para hadirin telah turut disajikan dengan siri pidato, persembahan puisi dan nyanyian oleh artis-artis tempatan.

Malah, YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim bersama semua yang hadir turut bertafakur mengenang pemergian pemimpin Palestin, Allahyarham Ismail Haniyeh yang terkorban dek serangan bom rejim di Tehran tanggal 31 Julai lalu.

Sumbangan dan jasa Allahyarham dalam gerakan menyatupadukan rakyat serta meraih sokongan negara-negara Islam antarabangsa menentang kebaculan Israel akan terus dikenang.

Kisah perjuangan tulus Allahyarham juga diharap dapat menggerus semangat umat Islam dan masyarakat dunia untuk tekal bersuara seterusnya merencatkan keangkuhan rejim tersebut.

Perhimpunan tersebut merupakan kesinambungan kepada perhimpunan yang sama pada 24 Oktober tahun lalu.

Sehingga hari ini, konflik tersebut telah mengorbankan sejumlah 39,583 nyawa rakyat Palestin dengan 91,398 orang lagi cedera.

Hadir menyatakan sokongan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir; Ketua Setiausaha KPT, Dato' Seri Ir. Dr. Zaini Ujang; serta pengurusan tertinggi KPT yang lain.

Hidup Palestin! Palestin Merdeka! 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 1654
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 11 Oktober 2024, 07:37:56.

logo-sirim