Allahyarham Tun Datu Mustapha Datu Harun, Wira Pendidikan Rakyat Sabah
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud petang tadi telah bersiaran secara langsung di program Kami Bah Ini (KBI): Sini Ada Cerita di TV1 bagi berkongsi peranan Allahyarham Tun Datu Mustapha Datu Harun dalam membangunkan sektor pendidikan rendah dan tinggi di wilayah tersebut.
Dikenali sebagai Bapa Kemerdekaan Sabah, Allahyarham yang juga merupakan mantan Ketua Menteri pertama telah menabur banyak jasa dalam memastikan kesemua rakyatnya mendapat akses kepada pendidikan terkini dan terbaik ketika itu.
Meskipun tidak pernah mendapat pendidikan secara formal namun gagasan beliau membangunkan pendidikan di wilayah Sabah dan menjadikannya sebagai wadah terbaik melahirkan modal insan berkualiti, telah menyumbang kepada peningkatan taraf sosio ekonomi bumiputera di situ.
Penubuhan Yayasan Sabah (YS) pada tahun 1966 misalannya, telah membuka peluang kepada para murid serta pelajar yang berkelayakan untuk melanjutkan pengajian mereka peringkat yang lebih tinggi dengan tajaan ditanggung sepenuhnya oleh yayasan tersebut.
Pada tahun 1973 pula, buah fikiran beliau telah membuka jalan kepada kerjasama antara YS dengan Institusi Teknologi MARA (ITM) bagi membangunkan ITM Cawangan Sabah yang juga merupakan cawangan pertama bagi ITM selain Shah Alam.
Ini diikuti penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Cawangan Sabah pada tahun 1974, yang mana kedua-dua universiti tersebut (ITM dan UKM) telah menginspirasi kepada penubuhan Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang telah dicadangkan beliau pada tahun 1990 dan seterusnya mula beroperasi pada tahun 1997.
"Pada saya Tun Mustapha ada suatu formula kepada pembangunan pendidikan bagi negeri Sabah untuk semua kaum dan agama.
Beliau menyemarakkan semangat belajar dalam kalangan pelajar bumiputera yang masih terpenjara dengan kemiskinan.
Bantuan berupa biasiswa, bantuan buku, pakaian sekolah, bantuan susu dan menyediakan asrama untuk pelajar miskin telah membawa impak positif kepada pembangunan pendidikan negeri Sabah.
Dengan itu wajarlah Allahyarham Tun diangkat sebagai tokoh pendidikan bagi negeri Sabah," ujar YB Timbalan Menteri penuh bangga.
Bersempena Bulan Kebangsaan 2024 kali ini, beliau mengajak kesemua rakyat terutamanya masyarakat Sabah untuk mengambil inspirasi daripada semangat kemerdekaan ini untuk terus berinovasi, meningkatkan kualiti pengajaran dan menyokong perkembangan akademik serta peribadi pelajar dalam usaha mencipta masa depan yang cemerlang dan gemilang untuk sektor pendidikan tinggi juga tanah air tercinta.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 1788