UTHM Dan USIM Terima TNC Baharu

UTHM Dan USIM Terima TNC Baharu

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) meneruskan komitmen dalam memantapkan barisan kepimpinan universiti awam (UA) menerusi penyerahan surat pelantikan kepada dua (2) orang Timbalan Naib Canselor baharu bagi Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir telah menyaksikan sesi penyerahan surat pelantikan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman di pejabatnya semalam.

Bagi Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Prof. Dr. Afandi Ahmad telah dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa).

Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Sains Kejuruteraan Elektrik dari universiti yang sama pada tahun 2001, sebelum memperoleh Ijazah Sarjana Sains Mikroelektronik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 2003, dan seterusnya Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Kejuruteraan Komputer dari Brunel University, United Kingdom pada tahun 2010.

Prof. Dr. Afandi membawa bersamanya pengalaman luas dalam kepimpinan dan pentadbiran universiti dengan rekod perkhidmatan beliau menyaksikan beliau pernah menyandang pelbagai jawatan strategik termasuk Dekan Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Pengetua Kolej Kediaman, Penolong Naib Canselor (Perancangan Strategik dan Perhubungan Korporat); sebelum berkhidmat sebagai Provost bagi UTHM Cawangan Pagoh bermula tahun 2023.

Rekod perkhidmatan beliau juga cemerlang semasa memegang jawatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTHM sebelum ini, termasuklah telah menerajui pelbagai inisiatif strategik akademik yang berimpak tinggi, antaranya penambahbaikan struktur kurikulum yang lebih dinamik, pengukuhan sistem jaminan kualiti dan akreditasi program, serta pemerkasaan kaedah pengajaran dan pembelajaran.

Usaha beliau turut memberi fokus kepada peningkatan kebolehpasaran graduan serta peluasan kerjasama akademik dan mobiliti antarabangsa, menjadikan UTHM lebih berdaya saing di peringkat global.

Dalam pada itu, bagi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Ts. Dr. Mohd Ikmar Nizam Hj. Mohamad Isa telah menerima surat pelantikan sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi).

Beliau merupakan seorang pakar dalam bidang Sains Fizik dan memiliki rekod yang sangat aktif dalam arena penyelidikan, serta banyak menyumbang kepada penerbitan jurnal berimpak tinggi juga berjaya memperoleh pelbagai geran penyelidikan yang kompetitif.

Kepakaran dan kepimpinan beliau dalam menguruskan ekosistem penyelidikan di peringkat fakulti sebelum ini diyakini mampu menyuntik semangat baharu dalam memacu agenda inovasi di USIM, selaras dengan visi universiti tersebut untuk mengintegrasikan ilmu Naqli dan Aqli.

KPT menaruh keyakinan yang tinggi bahawa pelantikan kedua-dua tokoh akademik ini akan dapat menyumbang kepada lonjakan kecemerlangan UTHM dan USIM, sekaligus membantu menjayakan agenda memartabatkan pendidikan tinggi negara ke tahap yang lebih tinggi.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Governan dan Pembangunan), En. Ahmad Rizal Adnan. 

  • Last updated on .
  • Hits: 195
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 13 Februari 2026, 01:57:54.

logo-sirim