Jom Masuk Universiti 2026: Jambatan KPT Perkasa Akses Pendidikan Tinggi Negara Kepada Masyarakat

Keberhasilan sesebuah negara bangsa bergantung sepenuhnya kepada ketersediaan akses pendidikan tinggi yang inklusif dan saksama bagi setiap lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang sosioekonomi mereka.
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir menegaskan bahawa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tidak akan berkompromi dalam aspek kebajikan pelajar, terutamanya melibatkan golongan miskin yang layak mendapat tempat di menara gading.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Karnival Jom Masuk Universiti (JMU) 2026 Zon Wilayah (Premier) yang dikendalikan oleh Bahagian Kemasukan Pelajar Institusi Pendidikan Tinggi Awam (BKPA), Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) dengan kerjasama Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Dalam ucapan tersebut, beliau menjelaskan bahawa kerajaan sedang giat melaksanakan transformasi sistem pendidikan menerusi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 yang bertujuan melahirkan generasi berdaya saing dalam tempoh sedekad akan datang.
Karnival JMU 2026 yang mengangkat tema "Dream Big, Inspiring Your Next Step" berperanan sebagai jambatan interaktif penting bagi pelajar mendapatkan khidmat konsultasi langsung mengenai penawaran kursus serta pembiayaan pendidikan.
Sebanyak 62 buah reruai pameran melibatkan Universiti Awam, Politeknik, Kolej Komuniti, IPTS dan MARA telah disediakan sepanjang empat (4) hari karnival berlangsung di Kompleks Perbadanan Putrajaya bermula 29 Januari lalu.
Usaha turun padang melalui 10 siri jelajah di seluruh negara, termasuk Zon Sabah dan Sarawak, membuktikan komitmen jitu KPT untuk mendekati masyarakat luar bandar dan pedalaman bagi memastikan tiada yang tercicir.
Program ini dijangka terus kekal menjadi platform utama dalam mempromosikan pelbagai laluan pendidikan yang ditawarkan di bawah ekosistem KPT bagi melahirkan modal insan negara yang holistik dan berkualiti.
Dalam kesempatan itu, YB Menteri turut mengingatkan para ibu bapa agar lebih teliti dalam membantu anak-anak memilih kursus pengajian supaya ia sepadan dengan kombinasi keputusan peperiksaan bagi menjamin peluang penempatan yang lebih cerah.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pentadbir universiti dan agensi yang bekerja sebagai satu pasukan, disaksikan oleh kehadiran barisan kepimpinan tertinggi termasuk Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Dato' Dr. Azlinda Azman; Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Shamsuri Abdullah; serta Naib Canselor UPNM, Lt. Jen Datuk Wira Arman Rumaizi Haji Ahmad.
- Last updated on .
- Hits: 242
