Temu Anwar TAR UMT: Kecemerlangan Akademik Mesti Disulami Nilai Kemanusiaan Dan Ihsan

Penerapan nilai kemanusiaan dan roh dalam kecemerlangan akademik seharusnya menjadi teras baharu dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja bijak pandai tetapi memiliki kesedaran sosial tinggi.
Justeru, Kerajaan memandang serius fenomena kecemerlangan akademik tanpa jiwa yang boleh melahirkan golongan profesional yang hilang pertimbangan moral serta tidak peduli terhadap kesengsaraan rakyat.
Perdana Menteri, YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim menekankan bahawa Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) tidak seharusnya menjadi menara gading yang terpisah daripada realiti kehidupan masyarakat sekeliling.
Berucap dalam sesi dialog Temu Anwar di Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology (TAR UMT) semalam, beliau menyeru mahasiswa agar menolak polarisasi kaum dan sebaliknya bergaul merentasi budaya demi memperkukuh perpaduan negara.
Pada majlis yang sama, YAB Perdana Menteri turut menyampaikan cek cura geran Kerajaan tahunan berjumlah RM 40 juta kepada TAR UMT sebagai komitmen kerajaan dalam menyokong usaha IPT swasta tersebut memastikan akses berterusan kepada pendidikan tinggi berkualiti, inklusif dan berpatutan.
Dalam ucapannya juga, YAB Dato' Seri Anwar turut mengingatkan mahasiswa bahawa penguasaan ilmu perlu seiring dengan pemantapan akhlak bagi mengelakkan lahirnya pemimpin yang menyalahgunakan kepakaran untuk melakukan pecah amanah.
Oleh itu, sektor pendidikan tinggi negara kini sedang dijajarkan untuk melahirkan golongan manusia budiman yang berakar umbi di bumi nyata walaupun sedang menggapai kemajuan teknologi langit terbuka.
Justeru, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berperanan secara langsung memastikan kurikulum universiti menerapkan elemen hormat dan ihsan yang merupakan tonggak utama dalam kerangka Malaysia MADANI.
Malah, melalui penyerahan geran RM40 juta tersebut juga menjadi simbolik kepada usaha Kerajaan memperkasa IPT yang berperanan sebagai ejen penyatupaduan bangsa.
Hadir sama, Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), YB Puan Hannah Yeoh Tseow Suan; Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pendidikan TARC, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong; Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim; Pengerusi Lembaga Pengelola TAR UMT, tam Sri Chan Kong Choy; dan Presiden TAR UMT, Datuk Indera Prof. Ir. Dr. Lee Sze Wei.
- Last updated on .
- Hits: 143
