UiTM, USIM Terima Timbalan Naib Canselor Baharu
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir telah menyampaikan surat pelantikan kepada dua (2) orang Timbalan Naib Canselor Universiti Awam di pejabatnya pada Isnin.
Prof. Ts. Sr. Dr. Md Yusof Hamid, Penolong Naib Canselor (Pembangunan) Universiti Teknologi MARA (UiTM) menerima surat pelantikan sebagai Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) UiTM yang baharu.
Memiliki latar belakang akademik dalam bidang Ukur Bangunan dan Pengurusan Projek, beliau pernah dilantik dalam pelbagai jawatankuasa kepakaran di peringkat kebangsaan termasuk sebagai Ahli Lembaga Penasihat Institut Latihan Perumahan dan Kerajaan Tempatan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta sebagai Ahli Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Fasiliti di bawah Persatuan Pengguna Standard Malaysia.
Selain itu, Prof. Dr. Nik Salida Suhaila Nik Saleh turut menerima surat pelantikan sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) baharu.
Merupakan Dekan Fakulti Syariah dan Undang-Undang USIM, beliau juga selalu menjadi sumber rujukan dalam bidang syariah serta undang-undang di Malaysia.
Prof. Dr. Nik Salida Suhaila Nik Saleh pernah mengganggotai pelbagai afiliasi profesional seperti Pesuruhjaya di Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, Ahli Majlis Fatwa Wilayah Persekutuan dan panel pakar di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.
Pelantikan kedua-dua Timbalan Naib Canselor tersebut yang berkuat kuasa 12 Ogos 2024 untuk tempoh dua (2) tahun adalah signifikan dalam memastikan kesinambungan kecemerlangan akademik, pembudayaan ilmu dan peneguhan tradisi intelektual pendidikan tinggi negara.
Hadir sama Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. Azlinda Azman.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 614