Sesi Dialog Belanjawan 2025 Kementerian Pendidikan Tinggi

Sesi Dialog Belanjawan 2025 Kementerian Pendidikan Tinggi

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir bersama kepimpinan tertinggi Kementerian telah melaksanakan Sesi Dialog Belanjawan 2025 di sini hari ini.

Sesi dialog berkaitan Belanjawan 2025 merupakan salah satu inisiatif Kementerian untuk mendapatkan input warga Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dari pelbagai kumpulan perkhidmatan di bawah Jabatan dan Agensi.

Platform yang signifikan sebegini memberi peluang kepada warga KPT untuk melontarkan pandangan berkaitan fokus strategik dan bidang tumpuan KPT untuk diteliti dan dipertimbangkan dalam kerangka permohonan Belanjawan 2025 nanti.

Majlis ini turut menyahut seruan YAB Perdana Menteri agar penyediaan Belanjawan 2025 yang berpaksikan kerangka Ekonomi MADANI supaya lebih menyeluruh dan merupakan cerminan denyut nadi serta aspirasi semua pemegang taruh KPT.

Selain itu, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) juga turut hadir sama dan diberi peluang dalam majlis tersebut untuk mengemukakan cadangan yang sesuai dijadikan inisiatif berkaitan kebajikan pelajar dalam institusi pendidikan tinggi.

YB Menteri semasa sesi dialog berkata cadangan yang dikemukakan hendaklah program dan projek yang boleh dilaksanakan pada tahun semasa belanjawan tersebut. Cadangan-cadangan ini seterusnya akan diperhalusi sebelum diangkat kepada Kementerian Kewangan untuk pertimbangan Inisiatif Belanjawan 2025.

Turut hadir Timbalan Menteri KPT, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud; Ketua Setiausaha KPT, Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang; dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. Azlinda Azman. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 722
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 11 Oktober 2024, 03:07:22.

logo-sirim