Program Santuni Madani KPT@KSB Berjaya Kutip 300 Kg Sampah Plastik

Program Santuni Madani KPT@KSB Berjaya Kutip 300 Kg Sampah Plastik

Sejumlah 300 kg sampah pelbagai jenis plastik telah berjaya dikutip hasil gotong royong sukarelawan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) dan komuniti Kuala Sungai Baru dalam program Santuni MADANI KPT@KSB edisi pertama pagi tadi.

Biarpun cuaca hujan, program khidmat bakti membersihkan pesisir pantai serta tepi jalan Kuala Sungai Baru yang diterajui Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Dato' Seri Ir. Dr. Zaini Ujang itu telah tetap dijayakan sebagaimana dirancang.

Terkenal sebagai destinasi riadah tepi pantai serta aktiviti nelayannya, lokasi ini dipilih bagi membantu mengindahkan persekitaran serta meningkatkan kesedaran masyarakat juga para pengunjung tentang pentingnya aktiviti pengumpulan dan pengurusan sampah.

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) akan menggunakan maklumat berat sampah program ini sebagai kajian berkenaan komposisi sampah yang terkumpul dan akan mengemukakan cadangan penyelesaian bagi mengatasi isu tersebut.

Inisiatif Santuni MADANI yang telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri pada Mei lalu, memperuntukkan sebuah kampung angkat untuk dijaga oleh setiap pemimpin bagi mengenal pasti masalah sosioekonominya sekali gus menawarkan solusi kepada isu-isu yang sering berbangkit.

Secara tidak langsung, program ini juga dapat menghidupkan budaya gotong-royong serta menggalakkan pengunjung untuk terus datang ke kawasan pantai di Kuala Sungai Baru.

Selain sukarelawan daripada KPT seperti jabatan, agensi dan para pelajar IPT sekitar Negeri Melaka; gotong-royong tersebut turut dijayakan wakil Persatuan Permuafakatan Penduduk Islam Kuala Sungai Baru; serta Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Kuala Linggi.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Linggi, YB Rosli Abdullah; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Mohamad Azhan Md Amir; Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dato' Dr. Haji Mohd Zahari Ismail serta Naib Canselor UNIMEL, Prof. Datuk Dr. Hj. Mohd. Taib Hj. Dora. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 781
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 11 Oktober 2024, 07:37:56.

logo-sirim