UiTM Sabah Jadi Tuan Rumah KARISMA Pemimpin Muda MADANI Siri Ke-8

UiTM Sabah Jadi Tuan Rumah KARISMA Pemimpin Muda MADANI Siri Ke-8

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir menegaskan kepimpinan tidak hanya terletak pada jawatan semata-mata, tetapi bergantung kepada kebijaksanaan serta kemampuan bergerak secara berpasukan dalam mendepani cabaran semasa.

Beliau menyatakan demikian ketika menghadiri Program KARISMA Pemimpin Muda MADANI siri ke-8 anjuran Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) bersama pensyarah muda dan pentadbir muda Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sabah semalam.

Menurut beliau, KARISMA bukan sekadar sebuah pertemuan biasa, tetapi wadah penting untuk membentuk generasi pemimpin baharu dalam dunia akademik dan pentadbiran universiti.

Beliau menegaskan anak-anak muda inilah yang bakal menjadi tulang belakang kepada pengurusan universiti, mencorakkan dasar serta memastikan agenda pendidikan tinggi negara bergerak seiring dengan tuntutan zaman.

Tambah beliau, tujuan asal penganjuran KARISMA adalah untuk memberi ruang kepada generasi baharu akademia menyalakan potensi, menyumbang idea segar serta memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi negara.

Program ini juga menjadi platform untuk YBM berinteraksi secara langsung dengan pemimpin muda UiTM Sabah, di samping mendengar pelbagai pandangan, idea dan permasalahan yang perlu ditangani secara tuntas.

Beliau menegaskan Kementerian akan meneruskan siri KARISMA di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) lain dengan harapan ia dapat melahirkan barisan kepimpinan muda yang bersedia menerajui Malaysia ke arah kecemerlangan.

KARISMA turut dilihat sebagai usaha memperkukuh libat urus antara kepimpinan tertinggi universiti dengan generasi baharu, sekali gus memupuk keyakinan dan rasa tanggungjawab bersama terhadap masa depan pendidikan tinggi.

Melalui wadah ini, Kementerian berhasrat agar lebih ramai pemimpin muda tampil dengan idea bernas serta keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan dinamik dunia akademik. 

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, YBhg. Datuk Dr. Anesee Ibrahim; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan & Pembangunan) KPT, Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan; Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin bin Sahib @ Sahibuddin; Pengarah AKEPT, Prof. Dr. Harshita Aini Haroon; Pengerusi Jawatankuasa Naib Canselor dan Rektor Universiti Awam (JKNC/R UA) merangkap Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Dato’ Dr. Md Amin Md Taff; Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Dato’ Prof. Dr. Mohammad Shatar Sabran; Rektor UiTM Sabah, Prof. Madya Dr. Rozita @ Uji Mohammed; serta Jawatankuasa Kepimpinan Eksekutif Negeri (JKEN) UiTM Sabah. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 1131
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 24 Oktober 2025, 04:17:19.

logo-sirim