UMS Disasar Jadi ‘The Brain Of Borneo’, Pusat Rujukan Ilmu Serantau

UMS Disasar Jadi ‘The Brain Of Borneo’, Pusat Rujukan Ilmu Serantau

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir menekankan peranan strategik universiti sebagai ‘brain of the nation’ atau pusat pemikir negara, dengan menggariskan tanggungjawab khusus Universiti Malaysia Sabah (UMS) untuk menjadi ‘the brain of Borneo’.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program KARISMA Pemikir MADANI Kepimpinan Tertinggi Universiti bertemakan “UMS NEXT 30: Dari Bumi Borneo Menyulam Ilmu, Menyuluh Dunia” di sini pagi tadi.

Menurutnya, UMS perlu menjadi khazanah ilmu dan pusat rujukan antarabangsa bagi rantau Borneo, dengan memanfaatkan kekuatan uniknya dalam bidang seperti biodiversiti dan maritim untuk menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara.

Menyentuh mengenai kelestarian kewangan, YB Menteri berkata universiti awam perlu beralih kepada model baharu di mana sebahagian dana operasi daripada kerajaan perlu dilengkapkan dengan penjanaan pendapatan sendiri secara proaktif, misalnya melalui penglibatan sayap komersial universiti dalam projek pembangunan.

Dalam sesi dialog bersama pengurusan universiti, YB Menteri turut menyentuh isu pengangguran belia di Negeri Sabah dan menggesa Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) untuk memastikan program yang ditawarkan sentiasa relevan dengan keperluan industri serta menggalakkan pembangunan kemahiran dan keusahawanan dalam kalangan graduan.

Beliau turut menyambut baik cadangan untuk membangunkan Kampus Labuan sebagai pusat program antarabangsa yang menawarkan kursus berdaya saing global bagi menarik lebih ramai pelajar dari luar negara.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Dr. Anesee Ibrahim; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan & Pembangunan) KPT, Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan; Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk Seri Panglima Abdul Rahman Dahlan; Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor; Pengarah AKEPT, Prof. Dr. Harshita Aini Haroon; Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Dato’ Prof. Dr. Mohammad Shatar Sabran; Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Governan dan Pembangunan) Jabatan Pendidikan Tinggi, Ahmad Rizal Adnan; Presiden Persatuan Pegawai Pentadbir UMS (PPUMS), Molly Donna Hj Awang Sham; serta barisan pengurusan tertinggi, dekan-dekan fakulti, dan para pensyarah. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 1028
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 24 Oktober 2025, 04:17:19.

logo-sirim