TVET POLYCC Buktikan Daya Saing Global Melalui 18th Malaysia FIRA RoboWorld Cup 2025

TVET POLYCC Buktikan Daya Saing Global Melalui 18th Malaysia FIRA RoboWorld Cup 2025

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyifatkan penganjuran 18th Malaysia FIRA RoboWorld Cup 2025 sebagai bukti kejayaan pendidikan TVET POLYCC dalam melahirkan pelajar yang bukan sahaja kompeten dalam bidang teknikal tetapi juga mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud, dalam ucapan perasmian penutupan kejohanan tersebut semalam berkata, keupayaan POLYCC mempertahankan penganjuran program ikonik ini selama hampir dua (2) dekad menunjukkan komitmen tinggi Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Teknikal dan Vokasional negara.

Kejohanan yang berlangsung selama enam (6) hari di Politeknik Merlimau, Melaka itu disertai pasukan dari beberapa negara termasuk Indonesia, Korea, China, Bangladesh, India dan Sudan, menjadikan edisi kali ini bertaraf antarabangsa.

“Ini membuktikan bahawa pendidikan TVET POLYCC bukan hanya berteraskan kemahiran tetapi turut mengadun elemen inovasi dan keupayaan menyelesaikan masalah sebenar melalui teknologi,” katanya.

Tambah beliau, penyertaan aktif pelajar dan pensyarah POLYCC dalam pertandingan berasaskan inovasi dan kerjasama strategik dengan industri turut menyerlahkan peranan institusi ini dalam memperkukuh ekosistem TVET negara.

“Pelajar POLYCC memiliki tiga (3) keunikan utama iaitu dilatih pelbagai kemahiran, dibentuk berasaskan keperluan industri dan kalis masa hadapan. Inilah kekuatan utama POLYCC dalam melahirkan graduan yang tampil berbeza,” ujar beliau.

YB Datuk Ts. Mustapha turut menegaskan bahawa integrasi teknologi kecerdasan buatan (AI) bukan lagi pilihan tetapi satu keperluan strategik nasional.

Justeru, KPT memberi penekanan terhadap pengaplikasian AI merentas kurikulum serta pelbagai program pembangunan pelajar.

“Malaysia tidak boleh kekal sebagai pengguna teknologi semata-mata, sebaliknya mesti melahirkan generasi pencipta yang celik AI. Inilah antara matlamat kita melalui platform seperti FIRA,” katanya.

Beliau turut merujuk kepada Pelan Hala Tuju RDICE yang dibangunkan oleh MOSTI sebagai anjakan paradigma ke arah memperkasa ekosistem inovasi pendidikan tinggi negara.

Mengakhiri ucapannya, beliau menyeru agar pertandingan seperti FIRA tidak hanya dilihat sebagai acara pertandingan semata-mata, sebaliknya sebagai persediaan membentuk generasi masa depan yang mampu mencorakkan landskap teknologi dan inovasi negara.

Sebanyak 14 IPTA meraih kejayaan dalam pelbagai kategori sepanjang kejohanan berlangsung. Johan keseluruhan disandang oleh Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS) yang merangkul enam (6) pingat emas, enam (6) perak dan tiga (3) gangsa. Diikuti rapat oleh Politeknik Port Dickson (PPD) dengan lima (5) emas, tiga (3) perak dan dua (2) gangsa, serta Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) dengan tiga (3) emas, tiga (3) perak dan tiga (3) gangsa.

Kejayaan turut dicatat oleh IPTA lain termasuk Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA), Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) sekali gus memperlihatkan daya saing tinggi dalam kalangan pelajar tempatan dalam bidang robotik dan inovasi teknologi. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 87
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Selasa 15 Julai 2025, 07:22:36.

logo-sirim