UMUGI Fest 2025 Buktikan Potensi Mahasiswa Jadi Pemangkin Transformasi Negara

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyifatkan penganjuran Universiti Malaya Undergraduate Ideas Festival (UMUGI Fest) 2025 sebagai lambang budaya inovasi dan pemikiran strategik dalam kalangan mahasiswa yang selari dengan aspirasi pendidikan tinggi berimpak tinggi negara.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud dalam ucapan perasmiannya menegaskan bahawa mahasiswa hari ini bukan sekadar penerima ilmu tetapi harus menjadi agen perubahan dan pemangkin transformasi nasional melalui keberanian mengilham idea dan mencipta solusi baharu.
“Festival digital ini bukan sekadar satu pameran idea, bahkan ia adalah wadah pencorak masa depan dan medan percambahan bakat. Semua hasil penyelidikan pelajar akan diteliti pihak industri untuk disesuaikan dalam menyelesaikan masalah di peringkat nasional dan global,” ujarnya.
YB Datuk Ts. Mustapha turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Universiti Malaya atas inisiatif menganjurkan UMUGI Fest yang menghimpunkan lebih 2,600 projek penyelidikan pelajar prasiswazah merentasi tiga (3) kluster utama: sains sosial, sains dan teknologi serta sains kesihatan.
Dengan tema "Mengilham Idea, Mencetus Perubahan (Unleashing Ideas, Igniting Change)", festival ini disifatkan sebagai contoh terbaik bagaimana universiti mampu menyemai budaya inovasi menerusi kolaborasi rentas disiplin, di samping memperkukuh keterlibatan industri melalui program seperti Commercialising Academic Research, pameran Industry Research Nexus, serta program Industry Pay It Forward (iPIF) bersama Talentbank dan Pusat Kebolehpasaran Graduan dan Kerjaya UM.
“Inisiatif seperti ini membuka ruang pembangunan kerjaya yang lebih holistik menerusi mentoring, simulasi temu duga dan ceramah kerjaya dengan penglibatan lebih 170 industri. Ia menyokong hasrat KPT untuk mempertingkatkan kebolehpasaran graduan mengikut keperluan pasaran semasa,” tambah beliau.
YB Timbalan Menteri turut memuji prestasi Universiti Malaya yang kini menduduki tempat ke-58 terbaik dunia dalam QS World University Rankings 2026 dan tempat ke-25 dalam THE Impact Rankings 2025, yang disifatkan sebagai penanda aras baharu bagi kecemerlangan pendidikan tinggi negara di persada global.
Beliau turut mencadangkan agar projek inovasi pelajar yang menang dipersembahkan semula dalam Festival of Ideas anjuran KPT yang bakal diadakan pada Oktober ini.
Tiga (3) Johan utama UMUGI Fest 2025 terdiri daripada Ezri Izmir bin Amiruddin dari Fakulti Undang-Undang dengan projek bertajuk “The Final Cut: Exploring Censorship Disparity, Artistic Freedom and the Rule of Law in the Malaysian Creative Industry” bagi kategori Sains Sosial; Janting Anak Tinggum dari Fakulti Kejuruteraan dengan projek “Performance Evaluation of Palm Oil Clinker (POC) Powder as an Additive in Warm Mixed Asphalt Design” bagi kategori Sains dan Teknologi; serta Tan Jiung Yong dari Fakulti Farmasi bagi kategori Sains Kesihatan dengan penyelidikan berkaitan inovasi farmaseutikal yang berjaya menonjolkan keberkesanan aplikasi dalam penjagaan kesihatan.
“Saudara-saudari bukan sekadar penuntut ilmu, anda adalah pencorak dasar masa hadapan. UMUGI Fest bukan noktah akhir, tetapi titik mula menuju kecemerlangan negara,” ucap beliau.
Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaya, Tan Sri Zarina Anwar; Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk UMUGI Fest 2025, Prof. Dr. Hasniza Zamanhuri; serta Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Dr. Zamri Radzi, serta Pegawai Kanan daripada KPT dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 91