Forum Akademik CTEF 2025: Perkukuh Pendidikan Tinggi Global Selatan Melalui Kerjasama Sejagat

Forum Akademik CTEF 2025: Perkukuh Pendidikan Tinggi Global Selatan Melalui Kerjasama Sejagat

Dalam dunia yang semakin berhubung namun berdepan cabaran ketidaksamaan dan perubahan pesat, pendidikan tinggi muncul sebagai wahana penting dalam merapatkan jurang pembangunan, memacu transformasi masyarakat, dan membentuk masa depan yang mampan.

Menyedari hakikat itu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi Kemudahan Pendidikan Tinggi Komanwel (Commonwealth Tertiary Education Facility – CTEF) menganjurkan Forum Akademik CTEF 2025 yang membuka tirainya hari ini di Pulse Grande Hotel, Putrajaya, dengan menghimpunkan tokoh-tokoh pendidikan dari serata dunia bagi membincangkan peranan pendidikan tinggi dalam konteks Negara-Negara Selatan Global (Global South) dan Kerjasama Selatan-Selatan (South-South Cooperation – SSC).

Forum bertemakan “Pendidikan Tinggi dalam Konteks Negara-Negara Selatan Global dan Kerjasama Selatan-Selatan: Trend, Cabaran dan Strategi” (Higher Education in the Context of Global South and South-South Cooperation: Trends, Challenges and Strategies) itu telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, YBhg. Dato’ Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian.

Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa pendidikan tinggi perlu tampil sebagai pemangkin pembangunan lestari, khususnya dalam mendepani cabaran global seperti ketidaktentuan geopolitik, ketaksamaan sosial, dan transformasi digital.

Beliau turut menekankan bahawa negara-negara Selatan Global (Global South) bukan sekadar penerima manfaat, tetapi mampu menjadi sumber penyelesaian, inovasi dan kepimpinan dalam pembaharuan pendidikan tinggi yang lebih kontekstual dan berkeadilan.

Menurut beliau, pendekatan Kerjasama Selatan-Selatan (South-South Cooperation – SSC) bukan sekadar pertukaran sumber, tetapi merupakan wadah perkongsian kepakaran, pemerkasaan institusi dan penciptaan solusi tempatan yang berpaksikan nilai saling menghormati dan kesaksamaan.

Forum ini turut menyokong Matlamat Pembangunan Lestari (Sustainable Development Goals – SDG), khususnya SDG 4 berkaitan pendidikan berkualiti dan SDG 17 berkenaan perkongsian strategik.

Antara tokoh yang turut serta termasuk Prof. Emeritus Dato’ Dr. Morshidi Sirat, Prof. Dr. Damtew Teferra dari Afrika Selatan, Prof. Dr. Jung Cheol Shin dari Korea Selatan, dan beberapa pemimpin akademik dari India, Australia dan Hong Kong.

YBhg. Dato’ Dr. Megat Sany turut menyeru semua peserta untuk menjadikan forum ini sebagai ruang berani berkongsi idea, mencabar kelaziman dan merintis kerjasama yang mampu membawa impak jangka panjang kepada sistem pendidikan tinggi Selatan Global (Global South).

Penganjuran Forum Akademik CTEF 2025 mencerminkan komitmen Malaysia dalam mendepani masa depan pendidikan tinggi yang lebih adil, responsif dan berdaya saing melalui perkongsian pintar dan kesepakatan serantau. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 74
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Selasa 15 Julai 2025, 07:22:36.

logo-sirim