Mahasiswa Perlu Jadi Penegak Nilai Dan Pemimpin Naratif Negara

“Mahasiswa hari ini tidak boleh hanya menjadi pengikut kepada sentimen semasa atau laungan emosi, sebaliknya mereka mesti tampil sebagai pendobrak naratif sempit dengan akal dan adab,” tegas Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir.
Beliau berkata demikian semasa menyertai sesi dialog “In Person with Doc Zam” anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS) semalam.
Program tersebut menghimpunkan lebih 1,000 orang peserta terdiri daripada mahasiswa UMS serta pelajar dari Institusi Pendidikan Tingggi Awam (IPTA) sekitar Kota Kinabalu yang hadir untuk berdialog dan berinteraksi secara langsung bersama YB Menteri.
Dalam sesi tersebut, YB Menteri mengajak mahasiswa untuk melihat kedudukan mereka bukan semata-mata sebagai penuntut ilmu, bahkan sebagai insan yang sedang membina watak, fikrah dan jati diri untuk memimpin masa depan negara.
“Jika mahasiswa hanya hadir ke universiti untuk mengutip kredit atau mengejar kelas pertama tanpa memahami nilai dan tanggungjawab ilmu, maka kita gagal membina bangsa yang luhur dan berdaya saing,” ujar beliau.
Beliau turut menegaskan bahawa kebebasan akademik tidak bermakna mahasiswa boleh bertindak sewenang-wenangnya tanpa batas ilmu dan adab, sebaliknya perlu disertai integriti intelektual dan komitmen terhadap kebenaran.
“Buatlah teguran. Berilah pandangan. Tapi janganlah bertindak secara semberono, menghina, mencaci dan memfitnah atas nama kebebasan. Kita perlukan mahasiswa yang bukan sekadar bersuara, tetapi yang tahu bagaimana untuk bersuara,” katanya.
Sesi turut diserikan dengan segmen soal jawab yang menyaksikan pelbagai soalan diajukan oleh pelajar, antaranya berkaitan cara mengekalkan motivasi dalam tekanan, peranan mahasiswa dalam menjayakan Malaysia MADANI, strategi menggalakkan semangat patriotisme, dan dasar KPT terhadap pelajar OKU.
YB Menteri dalam responsnya menekankan bahawa kekuatan mahasiswa bukan hanya terletak pada pencapaian akademik semata-mata, tetapi pada kemampuan untuk berfikir secara matang, bertindak dengan berhemah dan mendepani cabaran dengan iltizam dan empati.
Beliau turut menyatakan komitmen KPT untuk memperluas akses pembelajaran inklusif bagi pelajar berkeperluan khas, serta memperkukuh semula program pembangunan sahsiah dan kenegaraan di peringkat universiti.
Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk Seri Panglima Abdul Rahman Dahlan; dan Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor, bersama-sama barisan pengurusan tertinggi universiti dan warganya.
Program ini merupakan sebahagian daripada siri libat urus KPT bersama mahasiswa di seluruh negara yang bertujuan membuka ruang dialog terbuka, memperkasa suara pelajar dan membina kefahaman bersama terhadap peranan pendidikan tinggi dalam pembangunan negara, sejajar dengan pelaksanaan Agenda Pemerkasaan Mahasiswa di bawah KPT.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 131