Timbalan Menteri KPT Rai 7,770 Graduan Tvet di Majlis Konvokesyen POLYCC 2026 Zon Selatan

5 September 2026 | Port Dickson, Negeri Sembilan
Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terus membuktikan peranannya sebagai teras utama dalam membentuk kerjaya masa depan rakyat Malaysia, sejajar dengan komitmen kerajaan untuk memperkasakan bidang berkenaan di peringkat nasional.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Tuan Adam Adli Abd Halim berkata, pencapaian cemerlang institusi TVET tempatan jelas terbukti menerusi kadar kebolehpasaran graduan Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) yang merekodkan angka luar biasa.
Bagi tahun 2025, sebanyak 98.5 peratus graduan Politeknik dan 98.8 peratus graduan Kolej Komuniti berjaya memperoleh pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian.
“Sambutan gemilang majlis konvokesyen hari ini sejajar dengan hala tuju negara menerusi slogan Hari TVET Negara 2026, 'TVET Pilihan Utama Kerjaya' dengan subtema 'Kemahiran Dijulang, Masa Depan Gemilang'.
“Komitmen kerajaan yang ditekankan oleh YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim adalah untuk menjadikan TVET bukan lagi pilihan kedua, sebaliknya laluan utama dalam membina kerjaya masa depan rakyat Malaysia,” katanya ketika merasmikan Majlis Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Selatan Tahun 2026 di Politeknik Port Dickson, Negeri Sembilan.
Majlis konvokesyen berkenaan menghimpunkan seramai 7,770 orang graduan dari lapan buah Politeknik dan 25 buah Kolej Komuniti merangkumi tiga negeri di Zon Selatan iaitu Negeri Sembilan, Melaka, dan Johor.
Daripada jumlah tersebut, seramai 810 graduan adalah dari Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) yang menerima penganugerahan Ijazah, Diploma, dan Sijil dalam Majlis Konvokesyen PIS Ke-31 bagi sidang 1 dan 2.
Pada majlis yang sama, pelbagai anugerah kecemerlangan turut disampaikan bagi mengiktiraf pencapaian akademik, kokurikulum, hasil projek, serta penglibatan industri para graduan.
Kemuncak majlis menyaksikan penganugerahan anugerah utama POLYCC, iaitu Anugerah Ketua Pengarah, yang diraih oleh dua graduan cemerlang iaitu Muhammad Ainulhaq bin Ali Mazat (Diploma Teknologi Maklumat - Teknologi Digital, Politeknik Mersing) dan Ahmad Irfan bin Md Azwan (Sijil Landskap, Kolej Komuniti Selandar).
- Last updated on .
- Hits: 87
