KPT Dekatkan Ekosistem Pendidikan Tinggi Dengan Masyarakat Melalui Program Santuni Madani KSU KPT 2026

KPT Dekatkan Ekosistem Pendidikan Tinggi Dengan Masyarakat Melalui Program Santuni Madani KSU KPT 2026

5 September 2026 | Kluang, Johor

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menterjemahkan konsep Malaysia MADANI menerusi pelaksanaan Program Santuni MADANI Ketua Setiausaha KPT 2026 yang berlangsung di Kampung Tengah, Kluang, Johor Darul Ta’zim pada 4 hingga 5 September 2026.

Dinaungi oleh Ketua Setiausaha KPT, YBhg. Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin Hassim, program bertemakan "Memperkasa Komuniti Kampung Tengah, Kluang Melalui Sinergi Kementerian & Akar Umbi" ini bertujuan merapatkan jurang antara warga kementerian, Institusi Pendidikan Tinggi (IPT), dan masyarakat setempat.

Selaras dengan fokus utama kementerian untuk memasyarakatkan ilmu dan memindahkan kepakaran ke peringkat akar umbi, warga IPT dan ekosistem pendidikan tinggi telah membawa pelbagai inisiatif berimpak tinggi secara terus kepada komuniti.

Melalui aspek inovasi dan teknologi, golongan muda tempatan diberi pendedahan kemahiran teknikal terkini menerusi penganjuran Bengkel Robotik, Pertandingan FIRA Junior, serta pertunjukan dron.

Pada masa yang sama, inisiatif Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) turut diperkasakan menerusi penglibatan Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang memberi peluang kepada penduduk setempat mengakses pelbagai kursus kemahiran, perkhidmatan spa dan gunting rambut, serta pendedahan laluan pendidikan menerusi UPUOnline®️.

Program dua hari ini turut dimeriahkan dengan pelbagai pengisian holistik merangkumi aspek kerohanian, kemasyarakatan, kecergasan, dan kebajikan.

Bagi menyemarakkan nilai kemasyarakatan dan kebajikan, aktiviti seperti Semarak Subuh, tazkirah agama, Kenduri Rakyat, rewang, pemeriksaan kesihatan percuma, serta Jualan Rahmah MADANI telah dianjurkan.

Selain itu, semangat patriotisme dan gaya hidup sihat turut dipupuk menerusi larian Jalan-jalan Jalur Gemilang sejauh tiga kilometer bersempena Bulan Kebangsaan ke-69, acara senamrobik, sukaneka, dan permainan tradisional.

Kejayaan program ini dijayakan menerusi sinergi erat bersama agensi Kerajaan seperti KPDN, JPJ, AADK, JKKK Kampung Tengah, Waqaf An-Nur, PUSPANITA KPT, MBJ KPT, serta Kelab Sukan dan Kebajikan KPT.

Penganjuran Program Santuni MADANI 2026 ini membuktikan komitmen berterusan KPT dalam memastikan kepakaran, teknologi, dan peluang pendidikan tinggi dapat dimanfaatkan secara terus oleh masyarakat demi kesejahteraan bersama.

  • Last updated on .
  • Hits: 75
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Khamis 10 September 2026, 09:59:34.

logo-sirim